Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – UMNO bersetuju dengan Pas, bahawa penyatuan ummah lebih besar daripada penyatuan politik kepartian.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Pas terlebih dahulu telah membuat keputusan memilih Perikatan Nasional (PN) untuk melawan Barisan Nasional (BN).

Katanya, ini terbukti menerusi dua Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Melaka dan Johor, yang mana Pas bersama rakan PN bertanding melawan BN.

“Betul, saya setuju penyatuan ummah lebih besar daripada kerjasama politik.

“Namun, Pas sudah mengenepikan warna hijaunya sendiri untuk memilih biru PN melawan BN.

“Oleh itu, BN biarlah dengan BN-nya. Kita telah medan tempur bersama di Melaka dan Johor. Kata mengata, gelar menggelar sudah dilemparkan. No hard feelings. Nothing personal,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam, bahawa parti itu kekal berpendirian penyatuan ummah adalah lebih besar daripada penyatuan politik kepartian atau kerjasama politik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, Pas melihat keperluan untuk penyatuan dalam kerangka yang ditandatangani menerusi piagam Muafakat Nasional (MN).

Katanya, dalam konteks politik kepartian, setiap pihak boleh membuat apa yang difikir sesuai untuk partinya dan keadaan ini tentu berbeza antara satu kawasan, negeri berbanding lain.

Mengulas lanjut, Shabery berkata, selepas ini semua pihak kembali bermesyuarat bersama dalam sebuah kerajaan.

Katanya, ulang balik di PRU15, jika ada rezeki boleh duduk sekali lagi bersama dalam kerajaan.

Malah, khabarnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pun sedang mencari khemah besar.

“Mereka juga mencari formula nak jadi Perdana Menteri ke-10. Mudah-mudahan Pas tak ditinggalkan. Kalau ada rezeki, tak kira dengan siapa, Pas tetap dalam kerajaan.

Beliau berkata, umat tidak berpecah pun tanpa kerjasama politik dan semua pihak perlu bertenang, rehat dan sejukan hati. – MalaysiaGazette