Sebahagian struktur sebuah rumah teres runtuh akibat letupan yang dipercayai daripada gas memasak di Taman Cenderawasih, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

NIBONG TEBAL – Seorang kanak-kanak dilaporkan parah manakala empat lagi ahli keluarganya cedera akibat letupan gas memasak rumah mereka di Taman Cenderawasih di sini, malam tadi.

Kejadian jam 9.50 malam itu turut menyebabkan dua lagi kediaman teres berhampiran mengalami kerosakan.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata, lima sekeluarga itu dilaporkan baru pulang ke rumah dan letupan dipercayai berlaku ketika salah seorang daripada mereka membuka pintu rumah.

Phee Boon Poh.

Jelas beliau, letupan kuat itu menyebabkan kesemua mereka mengalami kecederaan sebelum dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan awal.

“Bagaimanapun, lima sekeluarga itu dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut memandangkan kecederaan yang dialami mereka agak serius.

“Seorang daripada mereka iaitu kanak-kanak berusia enam tahun dilaporkan berada di unit rawatan rapi susulan mengalami kecederaan teruk akibat kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.57 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal dikerahkan lokasi kejadian.

Keadaan rumah mangsa akibat letupan gas memasak.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiga rumah yang setiap satu berkeluasan kira-kira 74 meter persegi mengalami kemusnahan antara 10 hingga 70 peratus pada beberapa bahagian.

“Kita tidak menolak kemungkinan letupan itu berpunca daripada kebocoran gas memasak,” katanya. – MalaysiaGazette