Dr Adham Baba MOSTI mRNA Covid-19 vaccine Malaysia
Adham Baba

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15,565 sampel genom virus SARS-CoV-2 telah dijujuk dan dianalisis sehingga 27 April yang lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, maklumat virus telah dimuatnaik ke pangkalan data Global Initiative on Sharing Avian Influenza Data (GISAID).

Katanya, sampel-sampel itu telah dipilih oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diambil dari seluruh negeri.

“Analisis garis-masa pola perubahan varian di Malaysia menunjukkan peningkatan jumlah varian Delta dan Omicron masing-masing bermula sekitar bulan Ogos 2021 dan Disember 2021.

“Varian Delta dan Omicron ini diketahui lebih berbahaya dengan kadar infektiviti yang lebih tinggi dan mampu menjangkiti kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksinasi serta dos penggalak.

“Mereka yang belum divaksin juga berisiko tinggi untuk mudah mendapat varian Delta dan Omicron.

”Justeru, vaksinasi adalah perlindungan terbaik melawan varian berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Adham berkata, bagi varian Omicron, pola garis-masa perubahan sub-varian Omicron di Malaysia dari November 2021 hingga April 2022 menunjukkan 3,010 sampel adalah sub-varian Omicron BA.2; 1,989 sampel sub-varian BA.1.1; dan 694 sampel sub-varian BA.1.

Katanya, pola tersebut menunjukkan “lineage” BA.1 dan BA.1.1 mendominasi pada ketika awal kemunculan Omicron pada akhir tahun 2021, tetapi ianya mula beralih ke lineage BA.2 seawal Januari 2022.

Hampir kesemua penurunan 99 peratus sampel yang dijujuk dalam bulan Mac dan April 2022 adalah daripada lineage BA.2 dan sub-lineage-nya.

Menurut Adham lagi, maklumat berkenaan genom varian virus SARS-CoV-2 adalah amat penting untuk kerajaan mengambil tindakan yang wajar dan khusus bagi mengawal dan membendung penularan varian-varian berkaitan.

Ujarnya, apabila virus SARS-CoV-2 ini bermutasi, varian baharu yang muncul mungkin mempunyai keupayaan yang berbeza termasuk dari segi kebolehjangkitan, keterukan gejala, ketepatan ujian diagnostik dan keberkesanan vaksin dan terapeutik.

Sebagai contoh jelas beliau, kajian telah menunjukkan bahawa varian Omicron pada masa ini mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi tetapi dengan gejala yang kurang teruk berbanding dengan varian Delta.

“Ini disebabkan oleh mutasi yang menyebabkan perubahan dalam mekanisme virus itu untuk menjangkiti sel manusia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kadar pengawasan genomik, iaitu kadar genom yang dijujuk per jumlah kes positif yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah di antara lima hingga 20 peratus.

Ia berdasarkan pengiraan pada tahap keyakinan 95 peratus untuk dapat mengesan varian yang beredar dalam populasi sesebuah negara, terutamanya pada peringkat awal peredaran.

Tambah beliau, jelas sekali, pengesanan varian yang baru muncul akan memerlukan sampel yang lebih besar dan kadar pengawasan genomik yang lebih tinggi berbanding pengesanan varian yang telah merebak dengan meluas.

“Oleh itu, kadar pengawasan genomik ini secara langsung berkait dengan keupayaan pengesanan awal VOC baharu dan pengawalan kluster-kluster baru.

“Pada masa ini, kadar pengawasan genomik bagi negara kita masih kurang daripada satu peratus, walau bagaimanapun fasa tiga ini adalah sebahagian dari usaha positif bagi mencapai sekurang-kurangnya satu peratus kadar pengawasan genomik seperti mana yang disasarkan oleh kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast