Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR – Ong Kian Ming tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Bangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Beliau yang mula bertanding pada PRU13 di kerusi Parlimen Serdang, sebelum berpindah Parlimen Bangi pada PRU14, menyatakan hasrat itu untuk memberi peluang kepada muka baharu.

“Ini bukan keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa, saya telah bincang sejak tahun lepas dan langkah ini untuk membuka lebih banyak pintu kepada pemimpin muda.

“Cukup sembilan tahun berkhidmat sebagai Ahli Parlimen yang telah mengubah kehidupan saya, selain berpeluang berkenalan dan berhubung dengan individu pelbagai latar belakang, etnik dan kewarganegaraan di seluruh negara.

“Saya juga terlibat dalam pelbagai projek dan bergerak ke seluruh negara sebagai seorang Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dari 2 Julai 2018 hingga 24 Februari 2020,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berterima kasih Tony Pua yang membawanya masuk dalam parti dan mencadangkan berkhidmat sebagai wakil rakyat serta Lim Guan Eng atas kepercayaan bertanding di kerusi Parlimen Serdang pada 2013 dan Bangi 2018.

Kian Ming akui mungkin ramai tertanya-tanya sebab di sebalik keputusannya untuk tidak menawarkan diri sebagai calon dalam PRU15.

“Walaupun keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP baru-baru ini memainkan peranan dalam mengesahkan keputusan saya untuk berehat daripada politik barisan hadapan, ia bukan sebab utama untuk keputusan ini.

“Ketika saya mula-mula ditawarkan menjadi calon bagi kerusi Parlimen Serdang, persetujuan saya dengan isteri adalah untuk berkhidmat selama dua penggal dan kemudian menilai semula keadaannya.

“Menjelang penghujung penggal kedua ini, saya percaya telah memberikan usaha sebaik mungkin di peringkat kawasan, parti dan negara. Kini tiba masanya untuk generasi muda dalam parti mengambil alih tampuk kepimpinan,” kata beliau.

Dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) Mac lalu, beliau gagal mempertahankan jawatan itu apabila hanya meraih 535 undi dan jumlah itu tertinggal jauh di belakang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Jannie Lasimbang.

Mengulas lanjut, Kian Ming memberitahu, beliau mempunyai keyakinan penuh dengan kepimpinan Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung DAP yang baharu dan menggesa semua ahli serta pemimpin parti menunjukkan sokongan penuh kepada Ahli Parlimen Seremban itu.

“Saya percaya Anthony dan barisan pimpinan parti akan terus memberikan peluang kepada ahli dan pemimpin yang lebih muda untuk berkhidmat kepada parti dalam pelbagai kapasiti termasuk untuk diletakkan sebagai calon dalam PRU15.

“Saya akan memberikan sokongan penuh kepada sesiapa sahaja yang dinamakan parti sebagai calon Bangi dalam PRU15 dan sementara ini, saya akan meneruskan tanggungjawab khidmat rakyat saya di Bangi dan dalam parti sehingga parlimen dibubarkan.

“Saya belum bersara daripada politik, sebaliknya hanya berehat untuk sementara waktu. Saya bersedia untuk berkhidmat kepada parti dan negara pada masa hadapan jika khidmat saya diperlukan,” katanya. – MalaysiaGazette