Jumlah kemalangan di Melaka sepanjang pelaksanaan Op Selamat 18 tahun ini meningkat 73 kes berbanding Op Selamat 15 pada 2019.- Gambar hiasan.

MELAKA – Jumlah kemalangan di Melaka sepanjang pelaksanaan Op Selamat 18 pada tahun ini meningkat 73 kes berbanding Op Selamat 15 pada tiga tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, peningkatan 12 peratus itu menyaksikan 676 kemalangan berlaku sejak 29 April sehingga Op Selamat 18 tamat semalam.

Menurutnya, daripada jumlah itu, empat melibatkan kemalangan maut.

Amran@Mohamad Zaki Omar

“Sepanjang 10 hari Op Selamat 18 dilaksanakan, jumlah kemalangan di negeri ini menunjukkan peningkatan 73 kes iaitu 676 kemalangan berbanding 603 kes ketika Op Selamat 15 pada 2019.

“Jumlah cedera parah juga meningkat 29 kes daripada tiga kepada 32 kes pada tahun ini, namun angka kematian berkurang satu kes tahun ini menjadikan empat kematian direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Polis Melaka mengeluarkan 7,956 saman pada Op Selamat 18 tahun ini berbanding hanya 6,022 saman ketika Op Selamat 15 pada 2019.

Mengulas lanjut, Mohamad Zaki berkata, turut mencatatkan peningkatan kes adalah mangsa cedera ringan sebanyak 36 kes tahun ini berbanding tiada kes pada 2019.

“Jumlah saman yang dikeluarkan juga meningkat sebanyak 32 peratus menjadikan 7,956 saman dikeluarkan pada tahun ini berbanding hanya 6,022 saman ketika Op Selamat 15,” katanya.

Saman tertinggi melibatkan daerah Melaka Tengah sebanyak 5,959 saman diikuti Jasin (1,566) dan Alor Gajah sebanyak 441 saman.- MalaysiaGazette