Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail (hadapan kiri) melakukan penukaran dokumen Cloud Framework Agreement (CFA) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar (hadapan kanan) sambil disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri (tengah), Ketua Setiausaha Negara , Datuk Seri Mohd Zuki Ali (kanan) dan Menteri Kewanagan, Datuk seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) pada Majlis Pertukaran Dokumen Cloud Framework Agreement (CFA) di Zenith Hotel, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 MEI 2022.

PUTRAJAYA – Kerajaan mengambil langkah strategik dengan menaik taraf  Perkhidmatan Pusat Data Sektor Awam (PDSA) kepada Perkhidmatan Pengkomputeran Awan Sektor Awam yang dikenali sebagai MyGovCloud.

Ia bagi memastikan Perkhidmatan Pengkomputeran Awan dapat dimanfaatkan oleh seluruh agensi sektor kerajaan.

Perkhidmatan MyGovCloud berfungsi secara hibrid dengan menggabungkan perkhidmatan Private Cloud di PDSA dan Public Cloud oleh Penyedia Perkhidmatan Awan (CSP) yang dilantik kerajaan.

Sebagai komitmen kerajaan memperkasa MyGovCloud khususnya dalam penyediaan perkhidmatan Public Cloud satu perjanjian kontrak berpusat Pengkomputeran Awan yang dikenali sebagai Cloud Framework Agreement (CFA) telah dimaterai.

Perjanjian ditandatanggani Kerajaan dengan CSP bersama syarikat perkhidmatan Cloud yang dilantik oleh CSP atau dikenali sebagai Penyedia Perkhidmatan Pengurusan (MSP).

Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail (hadapan kiri) melakukan penukaran dokumen Cloud Framework Agreement (CFA) bersama Pengarah Negara Perniagaan Google Cloud di Singapura dan Malaysia, Sherie Ng (hadapan kanan) sambil disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri (tengah), Ketua Setiausaha Negara , Datuk Seri Mohd Zuki Ali (kanan) dan Menteri Kewanagan, Datuk seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) pada Majlis Pertukaran Dokumen Cloud Framework Agreement (CFA) di Zenith Hotel, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 MEI 2022.

Kontrak CFA tersebut telah ditandatangani bersama empat syarikat CSP iaitu Telekom Malaysia Berhad, Microsoft (Malaysia) Sdn. Bhd., Amazon Web Services Malaysia Sdn. Bhd. dan Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Turut serta empat syarikat MSP iaitu Cloud Connect Sdn. Bhd., Enfrasys Solutions Sdn. Bhd., Radmik Solutions Sdn. Bhd. dan Awantec System Sdn. Bhd.

Majlis perjanjian dan pertukaran dokumen disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Hadir pada majlis itu adalah Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamad.

Perkhidmatan Pengkomputeran Awan merupakan salah satu teras utama bagi memacu transformasi digital Sektor Awam seperti yang dinyatakan di dalam Pelan Induk (Blueprint) Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).

Perkhidmatan tersebut dijangka berupaya mengoptimumkan sumber kerajaan dan mobiliti bekerja dalam persekitaran digital bagi membolehkan proses kerja dan urus niaga tanpa kertas yang lebih berkesan secara End-to-End.-MalaysiaGazette