Home Nasional Punca Sungai Skudai berbuih masih disiasat

Punca Sungai Skudai berbuih masih disiasat

JOHOR BAHRU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor telah mengambil sampel air Sungai Skudai yang dilaporkan berbuih semalam dan mendapati kualitinya pada tahap normal.

Tahap alkali (ph) air sungai itu 7 tetapi JAS akan menjalankan siasatan ke atas semua punca-punca yang berpotensi untuk menyebabkan sungai tersebut berbuih.

Timbalan Pengarah JAS Johor, Mohd Rashdan Topa yang turut melakukan tinjauan di Sungai Skudai tidak menolak kemungkinan kejadian yang berlaku di sungai itu berpunca daripada industri di sekitar kawasan sekitar.

”Kita mengesyaki pencemaran yang terjadi berkemungkinan besar datang dari kilang-kilang di kawasan ini. Bagi kami siasat dahulu,” katanya.

Kakitangan JAS mengambil sampel air di Sungai Skudai yang berbuih dalam kejadian semalam untuk melakukan siasatan lanjut.

Tinjauan itu turut disertai oleh Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K.Raven Kumar.

Dalam tinjauan itu, Mohd Rashdan mengesahkan tiada kesan buih terhasil di sepanjang Sungai Skudai.

Malah, melalui pemantauan JAS Johor di Loji Rawatan Air Sultan Ismail, Skudai Johor turut mendapati tiada gangguan operasi berlaku berikutan kejadian itu.

Meskipun begitu, pemantauan tahap kualiti air di loji rawatan air tersebut dilakukan setiap dua jam bagi membolehkan pengesanan awal sekiranya berlaku pencemaran air.

Semalam, beberapa rakaman video Sungai Skudai berbuih ditularkan oleh seorang pengguna laman Facebook bernama An Niza ketika itu melalui kawasan berkenaan.-MalaysiaGazette