Home Nasional Seorang lelaki disyaki disamun ditemui terbaring tepi jalan

Seorang lelaki disyaki disamun ditemui terbaring tepi jalan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan Taman Tenaga di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Muhammad Idzam Jaafar berkata, lelaki berkenaan ditemukan selepas pihaknya mengesan satu video  di media sosial pada jam lebih kurang pukul 5 petang.

Dalam video yang berdurasi lapan saat itu juga memaparkan dua  individu yang baru beredar dari tempat kejadian dan seolah-olah berkata sesuatu kepada mangsa.

Jelas Muhammad Idzam, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian lelaki warganegara itu daripada isteri mangsa sendiri.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar. Foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2021.

“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan siasatan awal mendapati mangsa telah dipukul dan disamun oleh dua lelaki” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, siasatan terperinci sedang dilakukan dan disiasat dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, polis memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051 atau mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette.