Florence Tan

JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan rasa bangga atas kejayaan wanita kelahiran Muar yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Juruteknologi di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), Amerika Syarikat.

Kisah Florence Tan yang berasal dari kampung nelayan di daerah itu dan sedang berkhidmat di Ibu Pejabat NASA, tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda hari ini, Sultan Ibrahim bertitah pencapaian membanggakan wanita itu telah mengharumkan nama Johor di peringkat antarabangsa.

“Saya mengucapkan tahniah dan menzahirkan rasa bangga atas kejayaan anak kelahiran Johor ini sehingga menempa nama di luar negara.

“Ini juga merupakan satu kejayaan yang turut membanggakan rakyat serta mengharumkan nama Johor di peringkat antarabangsa,” titah Sultan Ibrahim.

Menurut Sultan Ibrahim, kejayaan Florence akan menjadi dorongan serta inspirasi kepada seluruh rakyat untuk mencatatkan lebih banyak kejayaan di peringkat dunia.- BERNAMA