Connie Elizabeth Derouche menunjukkan kejadian air berwarna putih seakan susu yang keluar dari paip rumahnya sejak kira-kira tiga minggu lalu mencetuskan kebimbangan hampir 2,000 penduduk Perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka hari ini.

MELAKA – Kejadian air paip bewarna putih seakan susu yang keluar dari paip rumah sejak tiga minggu lalu mencetuskan kebimbangan hampir 2,000 penduduk Perkampungan Portugis, Ujong Pasir, di sini hari ini.

Penduduk mendakwa, kejadian pelik itu menjejaskan kehidupan seharian mereka kerana takut untuk menggunakan air berkenaan kerana dikhuatiri mengandungi bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) Perkampungan Portugis, Marina Linda Danker berkata, kejadian disedari hampir 2,000 penduduk di perkampungan itu kira-kira tiga minggu lalu apabila air paip bertukar keruh seakan bercampur kapur.

Marina Linda Danker

“Mula-mula tu warna air tu keruh seperti warna susu sebelum bertukar menjadi jernih dalam beberapa minit selepas dibiarkan.

“Ada juga penduduk yang ada alahan dan tiada penapis air di rumah mengadu badan terus gatal-gatal bila mandi, jadi saya harap Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dapat periksa punca yang dikhuatiri tercemar akibat bahan kimia,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Connie Elizabeth Derouche menunjukkan kejadian air berwarna putih seakan susu yang keluar dari paip rumahnya sejak kira-kira tiga minggu lalu mencetuskan kebimbangan hampir 2,000 penduduk Perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka hari ini.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui mendakwa, kejadian ‘air susu’ itu walaupun hanya berlaku pada waktu awal pagi dan malam itu bukan sahaja menjejaskan aktiviti harian di rumah, malah perniagaan turut terkesan.

Peniaga kedai makan, Connie Elizabeth Derouche, 57, berkata, perniagaan kedai makan di rumahnya juga terjejas apabila terpaksa menunggu lama untuk menadah air bersih bagi memastikannya tidak bercampur dengan ‘air susu’.

Philip Dias

“Kita tak tahu bila masa air warna susu ini keluar dari paip walaupun selalunya pada waktu pagi dan malam sebab itu saya terpaksa tadah air untuk kegunaaan masakan bagi memastikan ia benar-benar bersih dan selamat digunakan,” katanya.

Turut terkesan adalah pesakit kencing manis, Philip Dias, 57, yang mengakui mengalami kegatalan kulit dipercayai berpunca daripada masalah pencemaran air di rumahnya.

“Sebagai pesakit kencing manis, memang saya risau lebih-lebih lagi bila kadang-kadang tu lepas mandi, habis kepala, tangan rasa gatal membuatkan rasa betul-betul tidak selesa.

“Untuk makan minum pula, saya terpaksa beli air mineral dalam kotak sebab takut kalau-kalau terminum air yang tercemar,” katanya. – MalaysiaGazette