Husam selaku Ketua Amanah kawasan Kota Bharu membentuk SaveKelantan dan kurang disenangi Che Ibrahim yang juga Ketua Amanah Kawasan Ketereh.

CKOTA BHARU – Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Ketereh, Che Ibrahim Mohamed menafikan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadok pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Beliau menegaskan, walaupun pernah bertanding di kerusi itu atas tiket Amanah pada PRU14, namun DUN Kadok bukan rumah atau kampungnya.

“Saya nak maklumkan, sebagai Ketua Amanah Kawasan Ketereh, parti kawasan ini tidak pernah mencadangkan apa-apa nama sebagai bakal calon Amanah di DUN Kadok.

“Kadok bukan rumah atau kampung saya, juga bukan tempat tinggal ahli keluarga saya. Saya pun bukan pengundi berdaftar dalam DUN Kadok.

“Jadi, tidak timbul sama sekali isu saya masih nak bertanding di DUN ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Pergolakan umpama air dalam cawan berlaku antara Amanah Kawasan Ketereh dengan bekas Naib Presiden Amanah Nasional, Datuk Husam Musa.

Kemelut itu berlaku apabila Husam yang kalah bertanding di kerusi DUN Salor pada PRU14, telah membentuk sekretariat SaveKelantan dan bergerak aktif atas badan bukan kerajaan (NGO) itu dalam kempennya untuk menawan Kelantan.

Menurut Che Ibrahim, calon Amanah bagi PRU15 akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti di peringkat pusat yang diketuai Presidennya, Mohamad Sabu.

Tegas beliau, SaveKelantan atau mana-mana pihak boleh mengumumkan calon masing-masing untuk bertanding di DUN Kadok dan menjadi hak serta urusan NGO itu untuk mendapatkan watikah bagi calon mereka.

Mengenai gerakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan yang dicetuskan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, kata Che Ibrahim, gerakan itu telah beberapa kali mengadakan mesyuarat antara pimpinan utama parti.

“Presiden Amanah pun pernah membuat kunjungan hormat ke rumah Ku Li. Maknanya, cadangan kerjasama politik antara parti parti pembangkang untuk hadapi kerajaan Pas di Kelantan dibuat atas mesyuarat bersama.

“Adapun SaveKelantan yang dikatakan diketuai oleh Husam, parti Amanah Kelantan tidak pernah dijemput atau dimaklumkan mengenai gerakan ini.

“Bahkan, Husam atas kapasitinya sebagai Ketua Amanah Kawasan Kota Bharu adalah Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Kelantan tidak pernah hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Amanah negeri sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh dan selepas meletak jawatan Naib Presiden Amanah,” ujarnya.

Katanya, kewujudan gerakan sekretariat SaveKelantan hanya diketahui oleh Amanah Kelantan melalui media dan sebahagian besar dari aktivisnya ialah mereka yang sudah lama tidak aktif dengan parti itu terutama selepas kejatuhan kerajaan PH. – MalaysiaGazette