Kerja-kerja membaiki ban MADA yang pecah hingga menyebabkan gangguan bekalan air giat dilakukan sejak malam tadi.

ALOR SETAR – Operasi empat Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini terpaksa dihentikan susulan insiden runtuhan ban kanan Terusan Tengah milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) semalam.

Empat loji itu adalah LRA Bukit Pinang, LRA Pokok Sena, LRA Jenun Lama dan LRA Jenun Baru yang menyebabkan gangguan bekalan air ke atas kira-kira 80,000 akaun pengguna.

Syarikat Air Darul Aman (Sada) dalam satu kenyataan berkata, masalah bekalan air dijangka menjejaskan orang ramai di daerah Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, dan Yan.

“Henti tugas empat LRA ini dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan anggaran 80,000 akaun merangkumi empat daerah berkenaan.

“Sada giat mengambil langkah proaktif bagi mengatasi isu tersebut dengan segera,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, maklumat berkenaan gangguan bekalan air ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook Syarikat Air Darul Aman dan laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my.

Terdahulu media tempatan melaporkan kejadian ban pecah seliaan Mada itu berlaku susulan hujan lebat di kawasan tadahan dan di dataran semalam menyebabkan aliran tidak terkawal dan paras air dari tadahan Sungai Padang Terap, meningkat. – MalaysiaGazette