Connie Elizabeth Derouche menunjukkan kejadian air berwarna putih seakan susu yang keluar dari paip rumahnya sejak kira-kira tiga minggu lalu mencetuskan kebimbangan hampir 2,000 penduduk Perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka hari ini.

MELAKA – Campuran udara tambahan melalui bekalan paip utama dan tekanan yang tinggi menyebabkan gelembung udara mikro terbentuk menjadi punca berlakunya kejadian ‘air susu’ dari paip air rumah penduduk di sekitar Ujong Pasir dan Padang Temu di sini.

Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dalam satu kenyataannya berkata, hasil ujian kualiti air berkenaan mendapati parameter kualiti air terawat yang dibekalkan adalah mematuhi piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan selamat diminum.

Menurutnya, pihak SAMB juga telah mengambil langkah drastik dengan melaksanakan kerja-kerja cucian paip di setiap hujung sistem paip retikulasi di kawasan yang terjejas.

“Didapati air berwarna putih susu yang terjadi adalah disebabkan oleh udara tambahan dan air bercampur bersama di dalam bekalan paip utama yang sememangnya mempunyai sedikit udara di dalamnya.

“Namun udara tambahan boleh memasuki bekalan akibat dari paip pecah atau bocor dan apabila campuran udara tambahan dan air ini mengalir melalui bekalan paip utama, tekanan yang tinggi menyebabkan gelembung udara mikro terbentuk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, SAMB berkata, di dalam paip tertutup, udara larut dalam air tetapi apabila pili paip kediaman dibuka, gelembung udara tersebut dilepaskan keluar.

“Seterusnya, gelembung udara mikro inilah yang menjadikan air kelihatan seperti susu dan ini samalah seperti yang berlaku apabila kita membuka sebotol minuman berkarbonat.

“Air paip berwarna susu mungkin nampak kotor tetapi sama sekali tidak berbahaya dan selamat untuk diminum atau digunakan.

“Warna susu ini juga tidak akan bertahan lama dan akan hilang dalam masa beberapa minit apabila gelembung udara mikro terlarut semula di dalam air,” katanya.

Bagaimanapun tambahnya, jika air tidak hilang dalam masa 24 jam, pengguna dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Pusat Khidmat Pelanggan SAMB yang beroperasi 24 jam di talian 15800 atau SMS/Whatsapp di 013-7515800.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan kejadian air paip berwarna putih seakan susu yang keluar dari paip rumah sejak kira-kira tiga minggu lalu mencetuskan kebimbangan hampir 2,000 penduduk di Perkampungan Portugis, Ujong Pasir.

Penduduk mendakwa, kejadian pelik itu juga menjejaskan kehidupan seharian mereka kerana berasa takut untuk menggunakan air berkenaan yang dikhuatiri mengandungi bahan kimia dan boleh menjejaskan kesihatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast