Hakimah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal oleh sebuah syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, siasatan dilakukan Pegawai Atase Halal JAKIM di Australia dan juga pihak berkuasa Australia iaitu Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE).

Katanya, perbincangan antara JAKIM dengan Kaunselor (Pertanian) Kedutaan Australia di Malaysia juga telah diadakan pada 28 April lalu bagi memastikan hasil siasatan tersebut dapat diserahkan kepada kerajaan Malaysia secepat mungkin.

“JAKIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya terdapat apa-apa kesalahan dan ketidakakuran yang melibatkan proses pensijilan dan pengiktirafan halal.

“Kita bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menyiasat sebarang dakwaan salah laku dalam perkara ini termasuk melibatkan pegawai JAKIM sekiranya ada,” katanya dalam kenyataan kepada media petang ini.

Beliau berkata, JAKIM juga bersedia pada bila-bila masa untuk bertemu dengan mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh mengenai isu ini demi kepentingan semua pihak. – MalaysiaGazette