Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf kepada penduduk di negeri itu yang sering mengalami gangguan bekalan air.

Kata beliau, perubahan tampuk kerajaan sebelum ini yang mengubah dasar menyebabkan pelan menaik taraf lima loji rawatan air (LRA) di negeri ini tertangguh.

“Jika pelan dasar itu tidak diubah, usaha mengatasi masalah bekalan air di seluruh Kedah, Insya-Allah dapat dilaksanakan lebih awal dan berkemungkinan tidak berlarutan hingga ke hari ini.

“Hanya setelah berlaku perubahan tampuk kepimpinan kerajaan negeri pada Mei 2020, barulah usaha untuk mengatasi masalah ini digerakkan semula.

“Sejak itu, pelbagai langkah penyelesaian yang lebih konkrit serta komprehensif dilaksanakan mengikut prosedur dan nasihat daripada Kementerian Alam Sekitar & Sumber Air dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN

Ban runtuh : 4 loji rawatan air di Kedah dihentikan operasi

Tambah Muhammad Sanusi, selain pelan jangka panjang, SADA juga melaksanakan pelbagai usaha termasuk pelan kontingensi bagi menghadapi masalah gangguan bekalan air pada musim perayaan Aidilfitri.

Jelas beliau, ia termasuk menyediakan tiga lori tangki jumbo dan 71 lori tangki kecil di 12 lokasi kritikal.

“SADA juga menyediakan 280 tangki statik, khidmat talian hotline di Pusat Informasi SADA untuk memproses aduan pada kadar segera, termasuk ketika sambutan Aidilfitri.

“Insya-Allah apabila projek menaik taraf lima LRA serta penggantian paip di seluruh negeri siap kelak, tiada lagi masalah gangguan bekalan air di negeri ini.

“Bagi pihak kerajaan negeri dan SADA, saya memohon berbanyak maaf atas gangguan bekalan air yang sering berlaku di kawasan tertentu, namun yakinlah bahawa usaha untuk mengatasi masalah ini sentiasa dan akan terus dilakukan,” kata beliau. – MalaysiaGazette