Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang mahu melakukan berurusan di kaunter boleh membuat janji temu sebelum hadir di semua 123 pejabat cawangan seluruh negara bermula hari ini.

Kemudahan janji temu itu melibatkan urusan tuntutan pusaka, permohonan hibah amanah, kemaskini maklumat peribadi dan pembukaan akaun diperkenalkan oleh TH.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, dengan adanya kemudahan janji temu ini, ia akan memberi kemudahan kepada pendeposit untuk berurusan di mana-mana kaunter cawangan TH dengan lebih efektif dan efisien.

Kemudahan ini merupakan satu lagi perkhidmatan yang ditawarkan oleh TH demi keselesaan kepada pendeposit.

”TH memperkenalkan kemudahan janji temu bagi membolehkan pendeposit memilih tarikh dan masa mengikut kesesuaian dan tidak perlu menunggu dalam tempoh masa yang lama untuk berurusan. Pelaksanaan kemudahan ini juga membolehkan TH mengatur kehadiran pendeposit secara berkala dan secara langsung dapat mengelak kesesakan dan ketidakselesaan pendeposit
ketika berurusan di pejabat cawangan TH,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pendeposit hanya perlu melayari laman web TH di www.tabunghaji.gov.my dan klik di menu pilihan urusan janji tamu bermula jam 8.45 pagi sehingga 3.45 petang. – MalaysiaGazette