Tangkap layar menunjukkan aliran trafik sesak di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu susulan air bertakung dengan tengah lebuhraya itu disebabkan hujan lebat hari ini.

GEORGE TOWN – Aliran trafik di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu sesak lebih tiga kilometer akibat air bertakung di tengah lebuh raya itu susulan hujan lebat pagi tadi.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang dalam satu kenyataan media memaklumkan sehingga jam 9 pagi tadi keadaan lalu lintas di lebuh raya terbabit masih bergerak perlahan akibat insiden takungan air itu.

Jelasnya, air bertakung berpunca daripada sebuah tapak pembinaan bersebelah kawasan perumahan Mutiara Height.

“Hujan lebat sejak jam 5 pagi tadi menyebabkan air bertakung di lokasi tersebut dan kerja-kerja pengorekan laluan air sedang dilaksanakan oleh petugas Jabatan Kejuruteraan MBPP ketika ini.

Petugas MBPP sedang melakukan kerja-kerja mengorek laluan air di lokasi kejadian.

“Kita mohon kepada para pengguna laluan tersebut agar bersabar dan Unit Warden Trafik MBPP sedang membuat kawalan aliran trafik bagi melancarkan perjalanan,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, orang awam diminta menggunakan laluan alternatif sekiranya ingin menuju ke pusat bandar raya.

Terdahulu tular dua rakaman video berdurasi 44 saat yang menunjukkan kesesakan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berikutan air bertakung di tengah jalan menghala pusat bandar.

Turut kelihatan beberapa kenderaan berhenti di tepi jalan kerana tidak mahu mengambil risiko meredah laluan dinaiki air itu. – MalaysiaGazette