Pengguna di Melaka menyifatkan caj upah potong ayam yang dikenakan di pasar negeri ini wajar dimansuhkan kerana hanya menyelirukan mereka.

MELAKA – Pengguna di Melaka menyifatkan caj upah potong ayam yang dikenakan di pasar negeri ini wajar dimansuhkan kerana tindakan itu mengelirukan mereka.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Awam di Bachang hari ini mendapati, rata-rata pengguna tidak mempunyai pilihan apabila terpaksa ‘pejam mata’ dan memilih dikenakan caj potong itu kerana sudah terbiasa dengan perkhidmatan percuma itu sebelum ini.

Menurut mereka, keadaan itu sekaligus menjadikan harga siling runcit ayam standard RM8.90 sekilogram jatuh pada harga RM9.50 hingga RM9.70 sama seperti sebelum ini.

Pengguna, Noriah Zainal, 62, berkata, dia sendiri tidak tahu peniaga pasar berkenaan mengenakan caj potong sebanyak 60 sen bagi sekilogram ayam kerana merasakan harga ayam seperti tiada kawalan sebelum ini.

“Memang saya pun tak perasan sejak bila ada caj potong ini, jadi lebih baik kalau peniaga terus sahaja cakap berapa harganya sama ada RM9.50 atau RM9.80.

“Selama ini pun tak ada caj potong dan itulah harganya, jadi bagi saya caj potong ini hanya mengelirukan pengguna,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Noriah Zainal

Pandangan sama dikongsikan Muhammad Fauzi, 62, yang bersetuju caj berkenaan hanya memburukkan keadaan seolah-olah memperlihatkan harga runcit ayam di Melaka tidak stabil kerana sentiasa berubah-ubah.

“Pandangan saya, adalah lebih baik caj itu dimasukkan sahaja dalam harga siling supaya harga itu tak turun naik.

“Mungkin peniaga boleh berbincang dengan pihak berkuasa untuk tetapkan harga siling yang munasabah untuk kepentingan semua pihak,” katanya.

Ghazali Abu Bakar

Sementara itu, peniaga ayam, Ghazali Abu Bakar, 48, berkata, kira-kira 17 peniaga ayam di pasar berkenaan pada hakikatnya tidak mahu mengenakan caj upah potong yang turut diakui mengelirukan pengguna.

Namun menurutnya, mereka tidak mempunyai pilihan kerana harga siling RM8.90 yang ditetapkan hanya memberi keuntungan sebanyak 10 sen membuatkan mereka terpaksa mencari kaedah lain mendapat sedikit keuntungan.

“Macam hari ini, sepatutnya kami naikkan caj upah potong daripada 60 sen kepada 80 sen sekilogram, tapi tiba-tiba hari ini pihak peladang yang membekalkan ayam masih kekalkan harga lama.

“Jadi kami pun putuskan untuk kekalkan caj 60 sen itu, tapi kalau esok lusa harga pembekal naik contohnya 20 sen atau 30 sen, kami akan naikkan juga caj potong mengikut kadar sama bagi mengelakkan kerugian,” katanya.

Muhammad Fauzi

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan bermula hari ini, harga ayam segar siap potong di negeri ini akan meningkat kepada RM9.70 sekilogram susulan upah potong dinaikkan daripada 60 sen kepada 80 sen.

Perkara itu dimaklumkan beberapa peniaga yang mendakwa rata-rata peniaga sepakat untuk menaikkan upah potong itu sebanyak 20 sen sejak dikenakan pada 9 April lalu.

Keadaan itu menjadikan harga siling runcit RM8.90 sekilogram ayam standard yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sehingga 5 Jun ini meningkat kepada RM9.70.

KPDNHEP sebelum ini menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8.90 sekilogram di Semenanjung bermula 5 Februari lalu.

Harga tersebut akan kekal sehingga 5 Jun ini iaitu selama 121 hari bagi menjamin kestabilan harga ayam dan juga makanan lain yang berkaitan.

Harga runcit RM8.90 itu merupakan penurunan kali ketiga selepas ditetapkan pada RM9.50 semasa perayaan Deepavali, RM9.30 ketika Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dari 7 hingga 31 Disember 2021 serta RM9.10 semasa SHMKM dari 1 Januari hingga 4 Februari 2022.- MalaysiaGazette