KUALA LUMPUR – Dua calon jawatan Timbalan Presiden PKR menolak agenda ‘khemah besar’ yang mahu menyatukan kesemua parti yang menentang Barisan Nasional dan UMNO dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang bertanding jawatan tersebut dalam pemilihan PKR berkata, agenda tersebut tidak pernah dibincangkan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.
“Februari 2020, kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh kerana mungkir janji dan pengkhianatan. Rakyat yang menyokong menjadi kecewa dan keliru. PH tak jatuh melalui rakyat tolak sebaliknya sejumlah ahli Parlimen khianat dan meninggalkan parti.
“Pada ketika kedudukan PH dan blok pembangkang berjumlah 109 bererti kurang tiga untuk bentuk majoriti mudah. Kita baru jadi kerajaan.
“Hari ini , tajuk khemah besar tidak pernah menjadi agenda dalam PKR. Tak pernah dibincang dalam temu rapat, tak pernah jadi agenda biro politik. Tak pernah menjadi agenda dalam Majlis Pimpinan Pusat,” kata Saifuddin.
Perkara sama turut ditegaskan Rafizi Ramli yang mencabar Saifuddin bagi jawatan tersebut.
Rafizi yang sejak dari awal tidak bersetuju dengan agenda khemah besar mengulangi pendiriannya dalam debat yang dianjurkan oleh sebuah portal berita hari ini.
Menurut Rafizi, idea khemah besar hanya akan mengakibatkan PKR tidak dapat memainkan fungsi utamanya kepada rakyat.
“Strategi untuk masuk ke pilihan raya itu setakat ini hanyalah strategi khemah besar iaitu untuk berunding dengan parti-parti yang lain dengan harapan kita dapat mengabungkan sokongan pelbagai parti ini.
“Itu akan menyebabkan kita lari daripada fungsi utama kita sebagai gagasan politik iaitu membentangkan, menyelesaikan dan menyakinkan rakyat bahawa kita bukan sahaja ada idea untuk menyelesaikan masalah besar tadi tetapi kita juga ada kepimpinan yang cekap dan berkebolehan untuk melaksanakan idea itu sekiranya kita menang.
“Kalau kita terus berunding itu bermakna kita terpaksa memeluk kembali watak-watak yang sebelum ini kita kritik dan dibenci oleh rakyat dan dalam proses kita memeluk kembali itu ia akan melunturkan kepercayaan rakyat kepada kita,” tegas Rafizi.
Pendirian yang diambil oleh dua calon Timbalan Presiden PKR itu dilihat bertentangan dengan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Amanah sebelum ini.
Antaranya, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang dilaporkan meminta pemimpin pembangkang berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan ‘Khemah Besar’ sebagai persediaan menghadapi PRU-15.- MalaysiaGazette