KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 5, 000 ahli Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merancang untuk berhimpun serentak di seluruh negara pada 6 Jun depan.
Himpunan itu dirancang bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan yang didakwa tidak mengambil berat terhadap kebajikan mereka.
Bekas tentera laut yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perhimpunan Aman Veteran ATM, Datuk Abdul Rahman Husain berkata, tindakan berhimpun itu telah mendapat persetujuan daripada hampir 9,000 veteran seluruh negara dan jumlah berkenaan bertambah saban hari.
Jelas beliau, usaha menuntut kebajikan mereka sudah dibuat sejak lapan tahun lalu dan kini akan diteruskan secara konsisten dalam perhimpunan aman tersebut bagi mengetengahkan nasib-nasib veteran ke Mahkamah Timbang Tara.
Tambah Abdul Rahman, veteran ATM sudah meminta dan berjumpa dengan kerajaan untuk meminta membuat keputusan dengan kadar segera tentang isu berkenaan namun mendakwa jawapan akhirnya sekadar hanya “akan dikaji”.
Dalam pada itu, Penasihat Undang-Undang Perhimpunan Aman Veteran ATM, Mejar (B) Mior Rosli Mejar Jaafar menyatakan kehampaannya kepada kerajaan yang seolah-olah tidak mengambil peduli tentang nasib mereka yang pada satu ketika dahulu berjuang untuk negara.
“Kita (veteran) rasa kecewa kerana kami yang berkhidmat semasa darurat, kami yang melawan komunis di dalam hutan, selesaikan masalah-masalah yang dihadapi daripada Peristiwa 13 Mei sampailah Parti Komunis Malaya meletakkan senjata pada 1989.
“Tapi hasil apa yang kami buat ni, hanya dapat kepada orang yang masuk kemudian. Bayangkan kalau pencen tinggal hanya RM400 sebulan.. nak makan apa?
“Saya terpanggil sudah lama bila saya lihat ada veteran duduk bawah jambatan. Bayangkan, dulu berjuang mempertahankan negara. Saya sebak. Orang tanya siapa suruh masuk askar? Tapi kalau kita tak masuk, siapa pula nak masuk?
“Masuk hutan tak balik rumah, putus kaki putus tangan tapi apakah balasan kerajaan kepada kita? Ada yang sampai duduk dalam kotak, duduk di kebun getah, tiada rumah, tiada tanah.
“Bayangkan kaki palsu yang nak tukar baharu pun tiada peruntukan, pencen hilang upaya pun tak disemak dari tahun 2000. Kasihanlah”, katanya dalam satu sidang media yang sama.
Menurut Mior Rosli, empat tuntutan asas perhimpunan aman itu berdasarkan Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan.
Antaranya termasuk memohon Majlis Angkatan Tentera (MAT) menyelaraskan pencen bagi veteran yang bersara sebelum 2004 dan 2013 berdasarkan kuasa yang ada pada MAT mengikut Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera dan peraturan-peraturan pencen serta faedah-faedah lain di bawahnya.
Selain itu, kumpulan itu memohon diberikan hak serupa yang dinikmati oleh penjawat awam lain yang diberi pencen setelah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun perkhidmatan.
Ketiga, memohon penubuhan Lembaga Pengampunan oleh MAT, yang mempunyai kuasa mengampunkan anggota yang diberhentikan atau dihukum atas segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan pegawai atasan bagi mereka yang layak.
Akhir sekali, memohon MAT mengkaji semula pemberian Pusat Hospitaliti Tentera Udara (PHU) dan Layan Sentiasa seperti yang diberi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan insurans selain insurans kelompok yang dibayar sendiri oleh anggota tentera kepada veteran yang cedera perang, cedera semasa berkhidmat dan cedera akibat tugas berat. – MalaysiaGazette