Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia Airline Berhad (Malaysia Airlines) memohon maaf berikutan ketidakselesaan penumpang berikutan keadaan kabin pesawat yang hangat dalam tiga penerbangannya baru baru ini.

Ia membabitkan penerbangan MH2536 dari Kuala Lumpur ke Kuching pada 3 Mei 2022, penerbangan MH2710 dari Kuala Lumpur ke Sandakan pada 8 Mei lalu dan penerbangan MH1205 dari Alor Setar ke Kuala Lumpur pada 9 Mei lepas.

“Malaysia Airlines kesal terhadap ketidakselesaan yang dihadapi penumpang baru-baru ini dan komited untuk meningkatkan proses pemulihan perkhidmatan bagi memastikan pengalaman penumpang tidak diganggu,” menurut kenyataan syarikat penerbangan itu, hari ini.

Katanya, keadaan hangat dalam kabin pesawat itu merupakan isu teknikal berasingan yang disebabkan kegagalan Unit Kuasa Bantuan (APU-Auxiliary Power Unit) beroperasi.

Jelasnya, sistem APU digunakan untuk membekalkan bekalan elektrik dan tekanan udara bagi menghidupkan sistem pendingin hawa dan enjin semasa pesawat berada di daratan.

“Apabila kelainan dikesan di darat sebelum berlepas, sebuah pesawat tidak boleh dihidupkan, menyebabkan persekitaran kabin yang hangat,” kata kenyataan itu.

Katanya, dengan bantuan peralatan di darat di lapangan terbang dan jenis pemeriksaan yang berbeza, masa menunggu mungkin dipanjangkan secara tidak sengaja bagi memastikan pesawat selamat untuk beroperasi.

Tambahnya, bagi mengelak situasi seumpama itu berulang dan menyebabkan ketidakselesaan penumpang, syarikat penerbangan itu dengan kadar segera memastikan penumpang dipindahkan ke dewan pelepasan dalam tempoh 10 minit selepas isu dikenalpasti ketika proses pembaikan dilakukan.

Malaysia Airlines akan mengesyorkan tindakan seterusnya jika proses pembetulan mengambil masa yang lebih lama daripada jangkaan, ujarnya.

Katanya, sepanjang sambutan Hari Raya, Malaysia Airlines mengendalikan 1,800 penerbangan dengan menggunakan 40 buah pesawat bagi bagi memenuhi peningkatan permintaan penerbangan domestik.

Menurut kenyataan itu, pasukan kejuruteraan syarikat penerbangan tersebut telah bekerja sepanjang masa bagi memastikan semua pesawat layak terbang dan  keselamatan kekal menjadi keutamaan Malaysia Airlines. – MalaysiaGazette