Seorang maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan di Lahar Kepar, Kepala Batas, Pulau Pinang.

KEPALA BATAS –  Seorang pelajar maut manakala seorang lagi parah apabila motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri di Jalan Lahar Kepar, di sini, hari ini.

Kejadian jam 12.20 tengah malam itu menyebabkan Muhammad Nasri Zaidi, 13, maut di lokasi kejadian manakala Muhammad Firdaus Amirul Zaini, 14, parah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati pelajar berusia 13 tahun yang menunggang motosikal jenis  SYM warna biru sedang dalam perjalanan dari arah Penaga menghala ke Kepala Batas.

“Bagaimanapun sampai di lokasi kejadian mangsa dikatakan telah memotong sebuah kereta di hadapannya sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal yang ditunggangi pelajar berusia 14 tahun dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, pelajar berusia 13 tahun  meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala pelajar berusia 14 tahun mengalami patah kaki kanan dan cedera di bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Difahamkan, kedua-dua motosikal yang ditunggangi pelajar berkenaan adalah milik bapa mereka dan masing-masing dalam perjalanan pulang dari rumah rakan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast