Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development (1MDB) pada sebelah pagi ditangguh membolehkan Datuk Seri Najib Razak menghadiri hadir pengkebumian Tan Sri Abd Aziz Kassim.

Allahyarham merupakan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Najib.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan pasukan pembelaan menangguhkan prosiding setengah hari.

Collin dimaklumkan tentang perkara itu pada saat akhir memandangkan Allahyarham meninggal dunia pada awal pagi ini.

Pasukan pendakwaan tidak membantah permohonan itu.

Najib menerusi hantara di laman Facebook Najib melahirkan rasa sedih terhadap pemergian Abd Aziz yang menjadi pegawai tadbir sejak tahun 70-an lagi.

“Dapat berita sedih tadi. Bekas Ketua Setiausaha saya, Tan Sri Abd Aziz Kassim telah pulang ke rahmatullah.

“Arwah seorang yang amat berkaliber, berpengalaman dan arif. Banyak membantu saya di PMO (Pejabat Perdana Menteri) dulu. Orang lama PTD (Pegawai Tadbir Diplomatik) dalam perkhidmatan sejak 70-an. Takziah kepada keluarga arwah atas kehilangan ini,” katanya.

Bekas Perdana menteri itu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion. – MalaysiaGazette