Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Rakyat Kelantan yang mempunyai tanah berhampiran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ERCL) dinasihatkan supaya tidak menjual hartanah mereka kerana ia bernilai tinggi dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, apabila projek kereta api laju itu siap, nilai tanah di negeri itu akan melambung enam hingga tujuh kali ganda daripada harga biasa.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan Pas Kelantan tidak menggunakan undang-undang tanah bagi memaksa rakyat menjual hartanah itu pada harga terlalu murah sedangkan ia berpotensi bernilai tinggi.

“Saya nak ingatkan rakyat Kelantan, projek ECRL sedang dilaksanakan sekarang ini dan dijangka siap tahun 2026.

“Apabila projek ini siap, nilai tanah di Kelantan akan naik melambung apatah lagi tanah di tepi jalan dan berhampiran laluan ECRL.

“Saya merayu, kepada mereka yang ada tanah ini, jangan jual. Simpan tanah ini kerana nilainya tinggi nanti dan kerajaan negeri pula jangan bersikap tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Ibrahim berkata, kerajaan negeri jangan sekali-kali memerah rakyat dengan memaksa mereka menjual tanah berkenaan untuk kepentingan peribadi.

Ini kerana, ujar beliau, banyak tanah di Kelantan berpotensi naik harga berkali ganda selepas 2026 iaitu tiga tahun sahaja lagi.

“Kalau kerajaan negeri nak ambil juga, mestilah berdasarkan harga nilai pasaran selepas 2026,” katanya.

Beliau sedih dan kecewa dengan nasib rakyat Kelantan, yang tidak dipedulikan kerajaan Membangun Bersama Islam terutama hal berkaitan bekalan air, pembangunan dan kebajikan.

Jelasnya, perjuangannya dalam politik ketika ini hanya sekadar bersuara, tidak ketika sebagai ahli Parlimen dahulu, lantang bercakap di Dewan Rakyat mendesak kerajaan menjaga dan membela kebajikan rakyat.

“Sekarang saya di luar Parlimen walaupun saya pemimpin parti politik. Banyak masalah saya dengar yang dihadapi rakyat Kelantan,” katanya. – MalaysiaGazette