KUALA LUMPUR – Seramai 173 orang pesakit Covid-19 yang diberikan rawatan Paxlovid sejak 15 April hingga 9 Mei lalu sembuh sepenuhya serta tiada sebarang kesan sampingan dilaporkan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ubat Paxlovid telah dibekalkan untuk rawatan pesakit Covid-19 di 512 buah Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Klinik Kesihatan dan 78 buah hospital kerajaan.
Setakat ini, keutamaan pemberian rawatan Paxlovid adalah kepada kumpulan pesakit COVID-19 berisiko tinggi yang mengalami gejala ringan hingga sederhana.
Kriteria pesakit Covid-19 yang akan diberi keutamaan rawatan Paxlovid ialah:
• Mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas;
• Jangkitan COVID-19 Kategori 2 dan 3
• Tidak memerlukan terapi oksigen
• Golongan berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk seperti berikut:
– Pesakit Diabetes
– Pesakit Darah tinggi
– Individu dengan masalah buah pinggang
– Pesakit Asma/paru-paru kronik
– Pesakit jantung
– Pesakit kanser
Menurutnya, ubat ini perlu dimulakan segera dalam tempoh lima hari sejak mula bergejala untuk keberkesanan yang optimum untuk mengurangkan risiko komplikasi jangkitan yang lebih teruk.
”Pesakit Covid-19 dalam kumpulan yang dinyatakan di atas boleh hadir ke CAC di Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan terpilih untuk dinilai kesesuaian sebelum boleh dimulakan dengan rawatan Paxlovid,” ujarnya. – MalaysiaGazette