Petugas kesihatan memberi suntikan dos penggalak Covid-19 kepada penerima yang hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Lembah Klang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 15 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG), Kementerian Kesihatan Malaysia mengesyorkan tiga kategori penerima dos penggalak Covid-19 yang kedua.

Mereka ialah individu berumur 60 tahun dan ke atas boleh menerima dos penggalak kedua secara sukarela dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama.

Manakala individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk (seperti penyakit kronik jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan lain-lain) boleh ditawarkan dos penggalak kedua dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama.

Namun, pengambilan dos penggalak itu perlu dibuat selepas berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar, kata Menteri Kesihataan, Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, remaja berumur 12 hingga 17 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk (seperti pesakit kronik jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan lain-lain) boleh ditawarkan dos penggalak pertama dalam tempoh empat hingga hingga bulan selepas menerima suntikan dos primer, juga selepas berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.

”Seperti yang dijelaskan sebelum ini, individu yang telah lengkap menerima dos primer vaksin Covid-19 dan diikuti dengan dos penggalak pertama telah terbukti boleh mendapat perlindungan optimum daripada jangkitan yang teruk dan kematian.

”Namun disebabkan berlaku penurunan imuniti dalam tempoh yang tertentu (waning imunity) terutamanya kepada individu di dalam kumpulan rentan, risiko masih lagi tinggi bagi kumpulan ini untuk mendapat jangkitan yang teruk, dimasukkan ke hospital dan seterusnya boleh menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Khairy, pengambilan vaksin dos penggalak kedua ini adalah secara sukarela. – MalaysiaGazette