KUALA LUMPUR – Hasil sektor perkhidmatan suku pertama 2022 melonjak ke 10.4 peratus
melepasi paras pra-pandemik dengan merekodkan nilai hasil sebanyak RM473.0 bilion

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata,prestasi itu dipacu oleh segmen perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan meningkat 9.2 peratus kepada RM378.7 bilion.

Ia diikuti oleh segmen maklumat & komunikasi dan pengangkutan & penyimpanan dan segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta dan kesenian, hiburan & rekreasi masing-masing meningkat 16.1 peratus dan 17.3 peratus kepada RM69.5 bilion dan RM15.2 bilion.

Sementara itu, bagi pendapatan e-dagang merekodkan RM278.2 bilion, peningkatan 9.3 peratus tahun-ke-tahun pada suku tahun pertama 2022.

Walau bagaimanapun, bagi perbandingan suku tahun-ke-suku tahun, pendapatan e-dagang menurun 4.2 peratus.

Analisis mengikut subsektor juga menunjukkan subsektor perdagangan borong & runcit mencatatkan peningkatan tertinggi RM28.5 bilion atau 8.6 peratus tahun-ke-tahun diikuti subsektor pengangkutan & penyimpanan dan makanan & minuman, masing-masing meningkat 32.2 peratus dan 19.9 peratus kepada RM29.3 bilion dan RM15.5 bilion pada suku pertama 2022.

Bagi perbandingan suku tahun-ke-suku tahun, jumlah hasil pada suku pertama 2022 merekodkan kenaikan 2.8 peratus atau RM12.9 bilion.

Peningkatan ini turut didorong oleh subsektor perdagangan borong & runcit serta pengangkutan & penyimpanan masing-masing meningkat 1.9 peratus dan 8.9 peratus.

”Jumlah pekerja dalam sektor ini ialah 3.8 juta orang, meningkat sebanyak 99, 500 orang atau 2.7 peratus tahun-ke-tahun.

”Kenaikan ini disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit dengan peningkatan sebanyak 72, 600 orang atau 3.9 peratus, diikuti subsektor pengangkutan & penyimpanan, meningkat sebanyak 22,900 orang atau 7.2 peratus.

”Bagi suku tahun-ke-suku tahun, jumlah pekerja juga menaik 1.0 peratus, meningkat 36,600 orang,” katanya.

Gaji dan upah yang dibayar juga mencatatkan peningkatan sebanyak RM1.2 bilion atau 5.0 peratus tahun-ke-tahun disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong & runcit yang menaik 6.0 peratus kepada RM13.5 bilion dan
diikuti oleh pengangkutan & penyimpanan, meningkat 10.3 peratus kepada RM2.7 bilion.

Sementara itu, bagi perbandingan suku tahun-ke-suku tahun, gaji dan upah menaik 1.8 peratus untuk mencatatkan RM25.4 bilion pada suku tahun pertama 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast