Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas Program Debat Perdana bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Kestabilan politik Malaysia perlu dikembalikan semula sebagai formula untuk negara bangkit dalam mendepani kelembapan ekonomi dan cabaran inflasi yang melanda ketika ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kestabilan penting kerana ia membolehkan kerajaan merangka pelbagai dasar untuk manfaat rakyat.

Pada masa sama, tegas bekas Menteri Kewangan itu, kerajaan yang stabil dapat melaksanakan pelbagai projek mega yang akan memberi keuntungan kepada semua pihak.

“Kita perlu rancangan jangka panjang. Kalau asyik tukar kerajaan, kita tidak ada masa. Inilah yang amat diperlukan oleh negara sekarang.

“Saya yakin kita ada kekayaan, kita cukup sumber untuk angkat darjat kita ke tahap lebih baik,” katanya ketika Debat Perdana bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini malam ini.

Sementara itu, Najib turut bersetuju dengan Anwar apabila membabitkan soal ketelusan dan memerangi rasuah.

“Kalau kita buat projek infra untuk rakyat pun, kita buat tender terbuka dan MRT (Transit Aliran Massa) contohnya, bila kita buat tender terbuka ia siap lebih awal.

“Projek infra rakyat mesti diteruskan kerana ia boleh menjana pendapatan kepada negara, sekali gus membangunkan semula ekonomi pasca pandemik Covid-19 serta membuka peluang pekerjaan buat rakyat.

“Tapi ini semua premisnya apa, kestabilan politik. Jangan ulang balik empat tahun lepas, tiga kerajaan, tiga Perdana Menteri. Tak mungkin orang ada keyakinan pada negara kalau tidak ada kestabilan apatah lagi untuk jamin masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast