Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi duit raya kepada kanak-kanak Taska Kemas Infra Bangi ketika hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Dewan Tun Razak Institut Kemajuan Desa, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 12 MEI 2022.

BANGI – Satu kajian semula terhadap kadar elaun membabitkan 3,896 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di luar negara akan disegerakan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, MARA memberikan jaminan kajian semula itu akan dibuat ke atas pelajar Malaysia yang terbeban dengan kos sara hidup tinggi.

“Kita sudah mulakan kajian beberapa minggu lalu selepas pelajar terbabit memaklumkan permasalahan mereka.

“Setakat ini kami masih menunggu maklumat lengkap pecahan perbelanjaan mereka, jumlah tajaan, yuran pengajian, kos sewa rumah, perbelanjaan bulanan dan kalau kos naik berapa perbelanjaan bulanan untuk makan dan minum.

“Tajaan dan kadar elaun yang diterima pelajar juga berbeza berdasarkan lokasi dan jurusan pengajian mereka, jadi itu juga dalam pertimbangan kita,” katanya kepada wartawan sempena majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pembangunan Luar Bandar di di Institut Kemajuan Desa (INFRA), sebentar tadi.

Tambahnya,  kajian terbabit sudah dimulakan beberapa minggu lalu dan laporannya akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz dalam masa terdekat.

Pelajar tajaan MARA paling ramai di United Kingdom dengan 1,422 pelajar, diikuti Jordan (297), Jerman (291), India (234) dan Australia (234).

Awal April lalu, media melaporkan terdapat peningkatan sehingga 54 peratus had harga tenaga di United Kingdom (UK).

Peningkatan itu bukan sahaja menjejaskan jutaan rakyat di negara itu, malah turut memberi kesan yang ketara kepada perbelanjaan pelajar-pelajar Malaysia. – MalaysiaGazette