Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Isu kekurangan jururawat yang menjadi antara aduan paling banyak diterima akan ditangani segera dalam memastkan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin justeru berjanji akan berusaha menyelesaikan masalah tersebut antaranya mempercepatkan kelulusan jururawat untuk dihantar ke hospital yang mengalami kekurangan tenaga kerja.

“Saya bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdulah beberapa minggu lepas telah pergi ke Hospital Tunku Azizah (HTA). Hospital ini sangat moden dan canggih serta dibina untuk ibu dan anak di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, ia tidak dapat dimaksimumkan perkhidmatannya sebab tidak cukup jururawat. Jadi kita telah cepatkan kelulusan jururawat dihantar ke HTA dan usahakan untuk hospital lain juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2022 di sini hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bergambar bersama sebahagian jururawat pada Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa di Hotel Everly, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 12 MEI 2022.

Sementara itu, Khairy juga berjanji untuk membantu jururawat yang mempunyai ijazah sarjana muda namun masih berada dalam gred kumpulan sokongan selain isu jururawat berstatus kontrak.

Selain itu, katanya, terdapat jururawat masyarakat yang sudah menjalani kursus namun sehingga kini belum dilantik ke gred U29.

“Kita cuba usahakan, saya tak berani janji 100 peratus tapi saya rasa tidak adil atas perjuangan jururawat kalau menteri kesihatan tidak cuba sedaya upaya untuk mendapatkan. – MalaysiaGazette

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) diiringi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bergambar bersama jururawat pada Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa di Hotel Everly, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 12 MEI 2022.