CHUKAI – Jenazah salah seorang daripada lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Terowong Menora semalam, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kijal, kira-kira 8.15 pagi tadi.

Jenazah tiba di kediaman keluarganya di Kampung Pantai Penunjuk, Kijal pada 3.15 pagi selepas disolatkan di Masjid Raja Permaisuri Bainun USAS, Perak selepas Isyak malam tadi.

Suasana pilu dan hiba menyelubungi suasana tanah perkuburan apabila ahli keluarga arwah dilihat tidak dapat menahan kesedihan ketika urusan pengebumian dijalankan.

Kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, penduduk kampung dan rakan mangsa hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mangsa.

Ibu arwah, Shamila Abdullah, 44, berkata, dia berasa lega kerana semua urusan membawa pulang dan pengebumian jenazah anak sulungnya itu berjalan dengan lancar dan selesai dalam masa singkat.

Shamila turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk hospital, USAS dan rakan-rakan yang membantu melancarkan urusan berkenaan.

“Walaupun sedih, saya dan suami tetap reda dengan pemergiannya kerana arwah adalah anak yang sangat baik dan menyenangkan hati ibu bapa. Arwah adalah abang dan contoh terbaik kepada tiga adiknya, walaupun dia sudah tiada, doa saya tetap bersamanya,” katanya.

Selain Ahmad Naim yang merupakan pelajar semester dua Ijazah Sarjana Kaunseling Islam USAS, empat lagi yang rentung akibat kemalangan itu terdiri daripada Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19 dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20. – MalaysiaGazette