Hasrina Osman, 42, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Melaka hari ini selepas mengakut bersalah atas pertuduhan memukul anggota polis menggunakan batang penyapu 7 Mei lalu

MELAKA – Padah memukul polis menggunakan batang penyapu, seorang wanita didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap Hasrina Osman, 42, selepas wanita itu mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan seorang Koperal Muhammad Taufik Sayutin ketika mangsa melaksanakan tugasnya sebagai penjawat awam yang sah.

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 10.45 malam 7 Mei lalu di Taman Melaka Raya dalam daerah Melaka Tengah.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh sebelum kejadian telah mengamuk dengan memecahkan barang dengan menyuruh abangnya menghantarnya ke rumah ibu mereka di Paya Jaras.

Keadaan yang tidak terkawal menyebabkan abangnya menghubungi Balai Polis Banda Hilir sebelum mangsa telah ke lokasi kejadian dan bertindak agresif dengan mencederakan mangsa menggunakan batang penyapu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun atau didenda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagaimanapun memohon hukuman ringan dengan alasan kesal terhadap perbuatannya.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari bagaimanapun memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan serius melibatkan penjawat awam.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda RM3,000 atau enam bulan penjara, jika gagal bayar. – MalaysiaGazette