Seorang penduduk melihat pokok-pokok yang rosak akibat banjir kilat, di Janda Baik, Pahang

KUALA LUMPUR – Pihak berwajib digesa menyiasat kejadian banjir kilat berlumpur yang sering berlaku di beberapa perkampungan di kawasan Janda Baik, Bentong.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, kerajaan perlu melaksanakan satu kajian yang lebih akademik dan telus untuk mencari punca dan cara mengatasi bencana alam di kawasan itu yang dikhuatiri berlaku akibat aktiviti pembalakan di hulu sungai.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan ia terjadi akibatkan perbuatan tidak bertanggungjawab hingga mengganggu keseluruhan ekosistem semula jadi di Janda Baik.

“Media turut melaporkan sebanyak 33 buah daripada 54 tempat peranginan atau resort dan chalet di Janda Baik musnah teruk akibat banjir tahun lalu dengan kerosakan dianggarkan di antara RM157,500 hingga RM6 juta bagi setiap tempat peranginan atau chalet.

“Lima anak sungai utama termasuk Ulu Sungai Benus, Sungai Kuala Lurau dan Sungai Tampik, yang sebelum ini membekalkan air bersih dan menjadi daya tarikan pelancong, kini tidak lagi seperti dahulu.

“DPIM menggesa tindakan tegas dan segera perlu diambil sebelum Janda Baik bertukar daripada tempat peranginan kepada pusat bencana alam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Shahir berkata, hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kampung sekitar kawasan Janda Baik dilanda banjir kilat.

Antara kampung yang terjejas teruk dalam kejadian tersebut termasuklah Kampung Sum Sum, Kampung Pulau Santap dan Kampung Chemperoh hingga memaksa 42 keluarga terpaksa berpindah ke lokasi selamat.

Pengusaha chalet dan penduduk kampung di sekitar Janda Baik berkemungkinan besar akan menempuh detik cemas sekali lagi apabila kawasan itu diramal dilanda banjir kilat buat kali ketiga ketika musim monsun barat daya yang bermula esok, katanya.

“Lokasi Janda Baik yang berdekatan dengan Kuala Lumpur, menjadikan ia adalah tempat strategik untuk industri pelancongan dan inap desa.

“Janda Baik menjadi tempat istirehat dan bercuti untuk segenap lapisan masyarakat ia golongn B40, M40 dan T20 dengan kadar sewa inap desa bermula dari RM50 satu malam.

“Bagaimana kini ia menjadi sesuatu yang menyedihkan apabila lokasi inap desa itu yang berdekatan dengan sungai di Janda Baik, telah terjejas teruk dek kerana siri banjir kilat berlumpur itu,” tambahnya. – MalaysiaGazette