Treler dan kereta yang dinaiki lima mangsa hangus dalam kejadian berhampiran Terowong Menora, Lebuhraya Utara Selatan-Foto media sosial

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melakukan siasatan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) ke atas nahas antara kereta dengan dua treler berhampiran Terowong Menora, dekat Kuala Kangsar, Perak yang menyebabkan lima pelajar institusi pengajian tinggi maut.

Menurut kenyataan JPJ, sekiranya hasil siasatan ICOP mendapati pemandu dan pengendali gagal mematuhi syarat dan permit perkhidmatan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan JPJ, permit dan lesen pengendali boleh digantung atau dibatalkan.

Katanya, tindakan penggantungan lesen memandu juga boleh diambil oleh JPJ berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sekiranya pemandu dituduh di mahkamah.

“Selain itu, siasatan PDRM (Polis Diraja Malaysia) juga akan menentukan sabitan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta 333 APJ, kepada pemandu terbabit untuk hukuman mahkamah serta, pemandu terbabit juga akan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh yang ditentukan mahkamah,” kata kenyataan itu.

Dalam kejadian di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Terowong Menora itu lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) rentung setelah kereta jenis Honda City yang dinaiki mereka dilanggar sebuah lori yang membawa pagar besi.

Rempuhan itu menyebabkan kenderaan berat berkenaan menyeret kereta mangsa ke hadapan sehingga melanggar bahagian belakang treler dengan muatan mozek.

Akibat kemalangan itu, kereta itu terbakar sebelum merebak ke bahagian kepala treler muatan pagar besi.

Sementara itu, menurut  JPJ, hasil semakan dalam pengkalan sistem My Sikap mendapati pemandu treler terbabit mempunyai la[an rekod kesalahan yang telah diselesaikan dan satu rekod kesalahan yang masih aktif dengan 12 mata demerit di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara).

“Jumlah mata demerit yang dikumpul akan memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu,” ujar kenyataan itu. – MalaysiaGazette