Rita Rudaini.

KUALA LUMPUR -Pelakon, Rita Rudaini yang sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana tidak mendapatkan suntikan vaksin melawan Covid-19 menyelar tindakan netizen termasuk golongan artis yang mengecam dirinya berhubung isu tawaran lakonan oleh penerbit, Fadzil Teh.

Menurut Rita, perkara tersebut tidak sepatutnya diperbesarkan kerana dia belum lagi menyatakan kata putus untuk menerima tawaran tersebut dan masih lagi dalam peringkat perbincangan.

Namun kata Rita, dia menyedari ada golongan artis dan pelakon yang tidak senang dengan pengumuman oleh Fadzil atau Haji Zil itu yang telah pun tular semalam.

“Nampaknya dah ada artis yang berbunyi apabila ada beberapa produksi cari saya. Awat?Takut kena Covid-19 dari saya yang tak vaksin katanya. Sebelum ini, dia kena Covid-19 di set dari siapa?

“Satu set kena daripada siapa? Bukankah sudah berdos-dos cucuk vaksin? Alhamdulillah, saya yang tak ada dos masih sihat dengan izin Allah SWT dan tak pernah kena setakat ini. Alhamdulillah.

“Hj Zil, bagi sahajalah watak saya itu kepada artis yang bising-bising itu. Mungkin baru akan senyap sikit,” katanya.

Selain itu, kata pelakon berusia 47 tahun ini, dia sentiasa percaya pada rezeki kurniaan Allah SWT dan Hj Zil bukanlah orang pertama yang menawarkan peluang kembali berlakon padanya.

“Kalau itu sudah tertulis rezeki saya, saya tak tolak rezeki dari Allah. Nak beritahu sikit kepada netizen-netizen yang panas punggung lagi busuk hati itu. Sebelum puasa pun dah ramai penerbit yang mesej ajak masuk semula set penggambaran tapi saya tolak cara baik.

“Sebab, saya ada benda lain yang perlu diselesaikan dan perlu diberi perhatian. Tak payah goyang lah dengan saya. Saya ini biasa-biasa saja bukan lawan engkau orang. Sebab itulah Tuhan selalu lindungi saya dan anak-anak dengan hadirkan orang yang baik-baik di sekeliling saya.

“Rupanya ramai yang busuk hati dengan saya. Percaya sahajalah dengan rezeki Allah SWT. Dia datangkan dari pelbagai sudut dan pelbagai rupa. Alhamdulillah atas nikmat-Nya,”katanya.

Kelmarin, tular berita mengenai kenyataan Hj Zil yang mengumumkan Rita bakal kembali berlakon dalam sebuah karya terbitan Zeel Production.

Jelas Hj Zil, dia sangat gembira kerana Rita telah menyatakan persetujuan untuk terlibat dalam naskhah berkenaan yang mengisahkan seorang pesakit HIV yang dijangkiti penyakit berkenaan akibat kecuaian seorang jururawat. – MalaysiaGazette