ALOR GAJAH – Perjalanan seorang remaja perempuan dipercayai keluar beraya bersama rakannya berakhir tragedi apabila motosikal diboncengnya merempuh sebuah kereta di Jalan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa, Nurul Shafeena Mohd Hasmawi, 15, maut di tempat kejadian manakala rakan sebayanya, Nurul Atiqah Musa yang menunggang Yamaha 135LC pula cedera di kaki dan dirawat di zon merah Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kedua-dua mangsa  merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat, Kuala Sungai Baru.

Menurutnya, motosikal remaja terbabit dari arah Pekan Kuala Sungai Baru menghala ke Kuala Linggi, manakala kereta yang dipandu seorang pesara tentera membelok dari simpang kedai runcit untuk ke Pekan Kuala Sungai Baru.

“Kemalangan berlaku apabila motosikal dinaiki mereka melanggar bahagian hadapan kereta yang sedang membelok.

“Rempuhan menyebabkan pembonceng tercampak sejauh 15 meter dan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Arshad berkata, pemandu kereta jenis Toyota Corolla yang berusia 77 tahun itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette