Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penutupan institusi pendidikan prasekolah semasa kawalan pergerakan menyebabkan murid tertentu melangkah ke alam persekolahan tanpa kemahiran asas dan menyebabkan sesetengah pelajar berumur lima tahun tidak tahu memegang pen.

Selain itu, ada juga murid yang kekurangan kemahiran mendengar dan menutur.

Pengerusi Persatuan Tadika Malaysia, Eveleen Khoo berkata, terdapat murid berumur enam tahun yang takut untuk ke sekolah sehingga asyik menangis kerana mahu pulang rumah.

“Keadaan ini adalah membimbangkan kerana kami tidak tahu bagaimana murid-murid ini akan melangkah ke alam persekolahan darjah satu,” katanya kepada China Press.

Katanya, murid yang menghadiri kelas prasekolah dalam talian mempunyai asas tertentu, tetapi keadaan adalah berbeza untuk mereka yang langsung tidak menghadiri kelas.

Ujarnya, murid dari luar bandar pula berdepan isu kemudahan Internet sehingga menyukarkan proses pembelajaran.

Tegasnya, umur empat tahun merupakan masa paling sesuai untuk anak mendapatkan pendidikan prasekolah dan dilatih asas tertentu termasuk kemahiran mendengar dan bertutur.

“Sekurang-kurangnya mereka perlu memahami arahan asas seperti beratur, duduk dan angkat tangan apabila memasuki darjah satu nanti.

“Kekurangan kemahiran ini akan menyebabkan keadaan kelas berada dalam keadaan kelam-kabut,” katanya.

Sementara itu, Eveleen berkata, sesetengah institusi pendidikan prasekolah berskala kecil terpaksa ditutup kerana tidak mampu membayar gaji semasa tempoh perintah kawalan pergerakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast