Mohd Khairuddin Othman

SUNGAI BULOH – Susulan pendedahan Rafizi Ramli mengenai 54,000 pengundi yang meragukan menjelang pemilihan PKR (Parti Keadilan Rakyat), Cabang PKR Sungai Buloh juga tidak terkecuali menerima nasib sama apabila terdapat kira-kira 11,000 daftar pemilih  yang diragukan turut dikesan.

Sambil menyifatkan perkara itu sebagai serius, calon Ketua Cabang PKR Sungai Buloh, Mohd Khairuddin Othman tidak menolak kemungkinan senarai pemilih meragukan itu sudah berada dalam sistem keanggotaan parti.

“Bukan kata Malaysia, di Sungai Buloh ini sendiri pun ada nama-nama ragu, ada 11,000 orang yang kita tidak tahu daripada mana dan siapa orang ini.

“Kita harap PKR Pusat dapat melihat perkara tersebut dan dapat memastikan proses pemilihan berjalan lancar

“Saya tidak buat aduan lagi sebab benda ini dalam sistem, cuma kita harapkan pusat melihat perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri bersama Belia Ysuku Riders di sini, hari ini.

Sebelum ini, Rafizi yang juga calon Timbalan Presiden PKR mendakwa pihaknya mengenal pasti kewujudan 54,000 daftar pemilih meragukan di seluruh negara menjelang pemilihan parti itu.

Katanya, surat aduan rasmi telah dihantar kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pada 12 April lalu bagi memastikan anggota parti yang tersenarai dalam kelompok berkenaan tidak dibenarkan mengundi secara terbuka.

Dalam perkembangan sama, Khairuddin yang juga Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor mendakwa, kebanyakan maklumat mengenai pemilih meragukan itu datang daripada sebaran aplikasi WhatsApp.

“Kebanyakan yang dituduh sebagai mana yang kita terima WhatsApp itu

“Ada tuduhan mengatakan anggota MIC yang masih menjadi anggota MIC didaftarkan dalam Keadilan (PKR) di mana mereka sendiri tidak tahu.

“Ini tuduhan-tuduhan yang kita minta JPP kaji balik tuduhan-tuduhan tersebut,” katanya.

Khairuddin turut berharap pemilihan PKR kali ini berjalan lancar tanpa sebarang tindakan agresif daripada anggota parti sendiri termasuk membaling kerusi dan meja seperti mana berlaku sebelum ini.

“Jangan tunjuk imej yang agresif sangat, sebab ia memberi impak kepada imej parti keseluruhannya.

“Saya harapkan semua anggota kita bertenang macam mana pun berlaku, kalau ada masalah serahkan kepada JPP, jangan ambil tindakan sendiri pada hari pemilihan.

“Sebab rakyat melihat kita, jangan terbang lagi (meja kerusi),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Orang lain yang daftar nama kawan dia tu tanpa izin . PKR kena bersihkan nama begini . Nanti bilang saja ramai ahli tapi ahli tipu saja

Comments are closed.