foto HAZROL ZAINAL, 03 JULAI 2018.

PUTRAJAYA – Permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang peguam bagi membantu siasatan kerana dipercayai menerima rasuah kira-kira RM100,000 ditangguhkan hari ini.

Ia ekoran peguam berkenaan dimasukkan ke hospital, pagi tadi.

“OKT (Orang kena tuduh) tak dapat direman hari ini sebab dimasukkan ke hospital pagi tadi.

“Saya tak dapat maklumat hospital mana dan mengapa dia dimasukkan ke sana, yang pasti permohonan reman batal hari ini,” kata seorang pegawai mahkamah kepada MalaysiaGazette.

Peguam berusia 50 tahun itu sebelum ini ditahan SPRM bagi siasatan kes menerima rasuah kira-kira RM100,000 kononnya untuk membantu menutup kes yang sedang disiasat suruhanjaya itu.

Peguam berkenaan ditahan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara kira-kira jam 4 petang semalam.

Peguam berkenaan sebelum itu dikatakan meminta wang berjumlah RM4 juta daripada seorang pemilik syarikat sebagai dorongan supaya SPRM tidak menyiasat syarikat berkenaan yang mempunyai kaitan dengan sebuah projek pembangunan. – MalaysiaGazette