Tong-tong berisi SPO yang ditemui di sebuah lokasi Sungai Buloh dipercayai dijual secara haram di Lembah Klang. Foto Ihsan Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket aktif yang terlibat dalam penjualan minyak sawit keladak atau minyak masak terpakai (SPO) di Sungai Buloh, 12 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Komisioner Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, serbuan itu dijalankan oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Pasukan Gerakan Khas (PGK) JKDNKA bersama Bahagian Penguatkuasa, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) atas maklumat awam.

“Tempat itu merupakan lokasi menjual dan membeli SPO yang dipercayai melanggar syarat permit yang ditetapkan.

“Hasil serbuan dalam operasi tersebut, seorang lelaki warga tempatan, berusia 34 tahun telah berjaya ditahan di lokasi untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sindiket yang terlibat dalam penjualan minyak masak terpakai secara haram di Lembah Klang berjaya digempur dan ditumpaskan pasukan penguatkuasa bersepadu JKDNKA Bukit Aman baru baru ini. Ihsan Bukit Aman

 

Dalam serbuan itu sejumlah 300 tan SPO yang dibeli daripada pengusaha restoran dan kedai makan di sekitar Lembah Klang dan dirampas.

Nilai keseluruhan rampasan itu adalah dianggarkan berjumlah RM1.5 juta.

Katanya, suspek yang disyaki terlibat direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, Selangor di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

Kes sedang disiasat di bawah Peraturan 5 (1) Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998.- MalaysiaGazette