Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis akan mengambil tindakan ke atas seorang lelaki yang disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam, di sini, pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis mengenai kejadian itu dan kes disiasat Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Kita telah selesai merakam keterangan daripada mangsa itu dan juga suspek yang didakwa melakukan jenayah berkenaan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

“Hasil siasatan awal polis mendapati suspek merupakan seorang pesakit mental dan kita akan membawa suspek terbabit ke Hospital Bahagia selepas mendapat perintah mahkamah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kejadian tersebut yang tular di laman media sosial itu didakwa berlaku pada pukul 10.15 pagi semalam apabila ibu mangsa menyuruh anaknya itu pergi ke kedai runcit yang terletak di hadapan rumah bersama sepupu lelaki berusia tiga tahun.

Dalam laporan polis, ibu mangsa berusia 35 tahun itu mendakwa suspek menahan mangsa di pintu lif sebelum secara tiba-tiba meraba alat sulit serta dada kanak-kanak perempuan tersebut.

Kanak-kanak tersebut menangis apabila pulang ke rumah dan menceritakan kepada beliau bahawa dia dikejar dan dihalang suspek dekat lif blok perumahan tersebut dan memegang bahagian sulit dan dadanya.

Suspek kemudian meninggalkan kanak-kanak berkenaan. – MalaysiaGazette