Rita Nadira.

KUALA LUMPUR – Bermula sebagai peragawati, Rita Nadira optimis terjun ke pentas lakonan sekali gus mengikut jejak langkah bintang hebat seperti Noor Kumalasari, Erra Fazira dan Nasha Aziz yang berjaya menonjolkan diri sebagai anak seni.

Tetap aktif dengan cabang dunia peragaan, Rita secara kebetulan memberanikan diri menceburi dunia lakonan sejak penghujung 2019.

Tidak hanya bersandarkan wajah cantik semata-mata, langkahnya ke arena lakonan terutama watak antagonis meninggalkan impak.

“Jujur sampai ada yang sanggup melemparkan kata-kata kesat dan hinaan yang disifatkan keterlaluan kerana terbawa-bawa dengan emosi lakonan saya berikan.

“Gelaran jahat, perempuan jalang dan ‘anak babi’ antara hinaan yang pernah dilempar ke muka saya. Tetapi saya terpaksa telan bulat-bulat.

“Saya percaya apabila dibenci sedemikian rupa, lakonan dipersembahkan berjaya diserlahkan. Kalau begini caranya, saya tak kisah ‘dibenci’,” katanya.

Akui Rita, dia pada mulanya terkejut sekali gus tidak menyangka diberi gelaran dengan begitu banyak nama berunsur carutan dan hinaan.

“Memang tidak dinafikan, orang kenal saya menerusi watak-watak antagonis yang minta dimaki semua. Saya kalau tengok balik lakonan sendiri pun rasa benci, apatah lagi mereka yang menonton.

“Watak Melissa dalam drama Tak Sempurna Mencintaimu antara karakter yang membuka mata ramai. Boleh dikatakan saya banyak bermain dengan emosi untuk menghidupkan watak itu. Namun, pada masa sama saya puas dapat buat orang benci,” katanya.

Rita Nadira sebelum ini adalah peragawati.

Tambah pelakon drama Juliet terbitan Zeel Production itu, kerana watak jahat itu juga berbakul-bakul makian, cacian dan cemuhan singgah di akaun media sosialnya.

“Bukan setakat ruangan komen dalam Instagram (IG), tapi mesej langsung penuh makian pun bertimbun-timbun saya terima sehingga ke hari ini.

“Saya bagaimanapun sejak awal lagi sudah bersedia untuk dikecam dan menjadi sasaran netizen melepaskan amarah terbuku mereka.

“Secara tidak langsung watak sebegitu menjadi batu loncatan untuk saya membina nama dan dikenali,” katanya.

Rita dalam pada itu menjelaskan bukan tiada watak selain antagonis yang ditawarkan kepadanya.

“Tetapi yang diingati dan jadi sebutan tetap watak jahat. Saya anggap ia rezeki. Cuma kalau ada kesempatan, saya mahu meneroka watak lain juga supaya tidak terus statik.

“Ada yang sampai anggap saya boleh diberi gelaran ratu antagonis. Saya lihat itu sebagai penanda aras untuk terus berikan yang terbaik. Tak ketinggalan untuk saya cabar diri dan tidak terus berasa selesa dengan apa yang ada.

“Syukur kebelakangan ini saya banyak pula dapat watak protagonis,” kata bintang drama Kerana Dia Suka itu.

Drama lakonannya kini juga disiarkan berturut-turut di kaca TV. Terbaru, Juliet pula disiarkan di TV1 sejak 3 Mei lalu.

“Saya bergandingan buat kali pertama bersama Redza Rosli. Selain itu, ia turut dibintangi Rozita Che Wan, Mas Anizan, Azza Elite, Mas Anizan, Aidit Noh dan Halmey Hamdah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast