KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menziarahi makam bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, California, Amerika Syarikat (AS) hari ini.
Dalam ziarah tersebut, Mohamed Azmin turut menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah dan Yasin.
“Saya hanya mampu berdoa kepada Allah SWT semoga almarhum tuan guru Datuk Dr. Haron Din dianugerahkan husnul khatimah dan rohnya ditempatkan di dalam syurga yang penuh nikmat Allah SWT. Al-Fatihah.
“Rindu pada sosok almarhum, seorang murabbi ummah yang banyak berbakti terhadap umat dan perkembangan Islam di Malaysia dan juga di rantau,” katanya.
Menurut Mohamed Azmin, selain tokoh sarjana muslim yang menyemai intelektual dan tradisi keilmuan, Haron juga memainkan peranan besar dalam memasyarakatkan penghayatan al-Quran.
Jelas bekas Menteri Besar Selangor itu, kecintaan Haron terhadap institusi ilmu serta pembangunan masyarakat ilmu telah mendorong allahyarham membangunkan Masjid Al Umm di Bangi, Selangor sebagai pusat pencerdasan umat Islam.
“Usaha ini yang membidankan pertemuan kami di Pejabat Datuk Menteri Besar Selangor pada 8 Julai 2015 bersama Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al Umm untuk kerajaan negeri membantu menyegerakan pembangunan institusi Islam di Bangi.
“Mengenali sosok almarhum secara peribadi serta menyedari tekad beliau terhadap usaha membangunkan umat yang cerdas dengan ilmu dan lengkap dengan amal, maka saya telah meluluskan peruntukan RM4 juta demi kemaslahatan ummah sekaligus merancakkan perkembangan syiar Islam di Negeri Selangor.
“Masih segar dalam ingatan saya betapa eratnya dakapan almarhum tuan guru Datuk Dr. Haron Din tatkala saya hadir ke Masjid Al Umm untuk menunaikan solat Jumaat terakhir bersama beliau dan menyerahkan cek dana pembangunan Masjid Al Umm,” katanya.
Mohamed Azmin ketika ini mengetuai Misi Perdagangan dan Pelaburan ke AS dari 8 Mei hingga 18 Mei ini.
Misi berkenaan merangkumi lawatan ke fasiliti dan mesyuarat perniagaan bersama syarikat terkemuka AS serta pelabur berpotensi dalam sektor bernilai tinggi.
Misi tersebut dijangka menarik pelaburan baharu bernilai RM14.62 bilion dari AS.
Tahun lalu, AS merupakan rakan dagang dan destinasi eksport ketiga terbesar negara terutama bagi produk elektrik, elektronik dan getah.-MalaysiaGazette