Onn Hafiz pada majlis sambutan Hari Guru dan Hari Raya Aidilfitri di Maktab Sultan Abu Bakar (English College) hari ini.

JOHOR BAHRU – Sempena Sambutan Hari Guru hari ini kerajaan Johor mengumumkan bantuan khas RM5,000 kepada setiap bilik guru membabitkan 1,775 buah sekolah berdaftar di seluruh negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bantuan dengan peruntukan berjumlah RM8.8 juta itu akan memanfaatkan seramai 53,130 guru.

Menurut beliau, bantuan berkenaan akan diberikan kepada semua jenis sekolah antaranya sekolah rendah kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan dan juga sekolah agama.

“Sempena sambutan Hari Guru hari ini, kerajaan negeri berbesar hati untuk menyampaikan bantuan khas berjumlah RM8.8 juta kepada 1,775 buah sekolah di seluruh negeri ini.

“Bantuan sebanyak RM5,000 bagi setiap bilik guru di sekolah-sekolah berkenaan bertujuan untuk menaik taraf kemudahan dan kelengkapan yang diperlukan bilik berkenaan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Guru dan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Maktab Sultan Abu Bakar (English College) hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norliza Noh.

Onn memberitahu,  masyarakat terutama generasi muda perlu menghormati guru-guru yang telah mendidik mereka selama ini.

Dalam majlis itu juga, kerajaan negeri juga turut menyampaikan peruntukan RM200,000 kepada sekolah berkenaan sebagai menghargai jasa dan peranan sekolah itu yang telah melahirkan ramai tokoh negara dan negeri ini.

“English College ini merupakan sekolah tertua di negeri Johor, ia juga telah melahirkan banyak tokoh-tokoh pemimpin yang berjasa kepada negara dan juga negeri ini khususnya termasuk bapa saya sendiri.

“Maka dengan ini setelah menilai dan meneliti permintaan guru-guru di sini saya bersetuju untuk membantu apa yang guru di sini mahukan,” katanya.- MalaysiaGazette