Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mengesahkan kejadian kemalangan melibatkan kenderaan polis dengan pemandu lain di hadapan Pavilion di ibu kota semalam.

Ketuanya, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian berkenaan berlaku pukul 11 malam tadi.

Menurutnya, dua pemandu kenderaan yang mendakwa dilanggar kenderaan polis yang mengiringi orang kenamaan juga telah membuat laporan polis.

Justeru, beliau meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan.

“JSPT KL juga meminta kerjasama saksi yang melihat kejadian tersebut untuk hadir ke Balai Polis KL bagi tujuan membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 999 atau Hotline JSPT KL di talian 03-2026 9267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau berkata demikian merujuk video berdurasi 1.45 saat  dimuat naik pemilik akaun Tik Tok @mariaasren (gambar bawah) memaparkan kenyataan pengadu yang terlibat dengan kemalangan yang melibatkan kenderaan polis mengiringi orang kenamaan.

Pemilik akaun berkenaan turut menyatakan ketidakpuasan hati kerana mendakwa keretanya dilanggar selepas diarahkan untuk memberi laluan kepada kenderaan polis yang mengiringi orang kenamaan.- MalaysiaGazette