Gelagat Orang awam menunggang e-skuter di tengah jalan sehingga membahayakan keselamatan dan pengguna jalan raya yang lain ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tasik Perdana, Cyberjaya. Foto MUHD NA'IM, 17 APRIL 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memudahkan serta menggalakan penggunaan kenderaan mikromobiliti dan bukan menghalangnya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, penggunaan kenderaan tersebut mampu memainkan peranan penting bagi menjayakan hubungan first mile dan last mile terhadap pengangkutan awam.

“Hubungan first mile dan last mile yang optimum, berkesan dan cekap untuk pengguna adalah sangat penting bagi kejayaan pengangkutan awam seperti bas, LRT, monorail, KTM komuter dan MRT.

“Selaras dengan pendirian ini, kerajaan BN masa saya (jadi) perdana menteri banyak memberi tumpuan kepada bas, jejantas dan walkway dalam bandar yang berhawa dingin atau berkipas,” kata Najib.

Bagi memudahkan penggunaan kenderaan itu kerajaan boleh meletakkan syarat bahawa setiap model mikromobiliti yang ingin dijual perlu mendapat kelulusan ciri-ciri keselamatan.

Kenderaan itu juga perlu dikategorikan mengikut lima cara pengangkutan iaitu berjalan kaki, berbasikal, bermotosikal, kereta dan bas.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, kenderaan mikromobiliti yang bersaiz kecil dan perlahan tidak banyak beza dengan kaedah berjalan kaki dan boleh dibenarkan untuk digunakan di laluan pejalan kaki.

Manakala mikromobiliti yang lebih dekat dengan jenis basikal pula boleh dibenarkan untuk digunakan di laluan basikal sedia ada.

“Dan jika masih bimbang bahawa pengguna mikromobilti tidak akan bertanggunjawab dan akan menggangu pengguna jalan raya atau lalu lintas pejalan kaki maka letaklah penalti atau hukuman yang lebih berat.

“Sekiranya berhasrat untuk menjayakan pengangkutan awam yang menerima pelaburan begitu besar bagi mengurangkan kesesakan trafik dalam bandar maka kerajaan tidak patut pukul sama rata dengan menghalang penggunaan mikromobiliti,” katanya.

Gelagat Orang awam menunggang e-skuter dengan melawan arus di tengah jalan sehingga membahayakan keselamatan dan pengguna jalan raya yang lain ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tasik Perdana, Cyberjaya. Foto MUHD NA’IM, 17 APRIL 2022.

Pada 26 April lalu, kerajaan mengharamkan penggunaan tiga jenis kenderaan mikromobiliti di jalan raya iaitu, Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, larangan terhadap tiga kategori kenderaan mikromobiliti itu dilaksanakan mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas (Larangan Penggunaan Kenderaan Mobiliti Tertentu) 2021 yang berkuat kuasa 17 Disember 2021.

Serentak larangan itu beberapa pembekal kenderaan mikromobiliti dilaporkan melahirkan kebimbangan bahawa langkah itu akan menyebabkan syarikat mereka terpaksa ditutup dan ribuan kehilangan pekerjaan.

Kata mereka, banyak pelanggan membatalkan tempahan berikutan larangan tersebut.

MalaysiaGazette pada 18 April lalu melaporkan gelagat sekumpulan pengguna e-skuter di Taman Tasik Perdana di Cyeberjaya dilihat seakan-akan mmenempah maut apabila menjadikan jalan raya tempat gelanggang mereka.

Kebanyakan penunggang e-skuter berkenaan bermain tanpa tidak menghiraukan keselamatan mereka dan pengguna jalan raya yang lain. – MalaysiaGazette