Ahli Parlimen Batu tular gambar Tian Chua hadir majlis berbuka puasa bagi tujuan politik.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat Batu Kuala Lumpur (Pembakti) kesal tindakan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran menularkan sekeping gambar program berbuka puasa anjuran NGO itu pada 21 April lalu.

Pengerusinya, Mohd Zulkifli Abdul Fattah berkata, apa yang dilakukan oleh pemimpin PKR itu adalah untuk tujuan politik sempit dengan cubaan menjatuhkan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua.

“Kami telah menerima satu tangkap layar melalui aplikasi Whatsapp yang menunjukkan satu gambar dari program berbuka puasa anjuran kami dengan ciapan berbentuk serangan terhadap Tian Chua.

“Dalam tangkap layar ciapan Twitter bertarikh 14 Mei 2022 itu, penyiaran gambar tersebut pada waktu ini juga telah disalah anggap seolah program tersebut berlangsung baru-baru ini.

Mohd Zulkifli Abdul Fattah

“Pembakti ingin menjelaskan, program berbuka puasa Parlimen Batu ini dianjurkan oleh NGO kami dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan pada tahun 2021,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Program itu, kata Mohd Zulkifli telah dihadiri Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Santhara (sekarang Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya); Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Datuk Azhar Yahya dan ramai lagi tokoh masyarakat, ketua persatuan penduduk, pemimpin NGO serta masyarakat setempat tanpa mengira penglibatan politik mereka.

Kata beliau, Pembakti menjemput Tian Chua kerana beliau merupakan seorang tokoh masyarakat yang telah berbakti di Parlimen Batu dan seluruh Malaysia selama lebih 10 tahun.

“Untuk pengetahuan, program ini juga dihadiri wakil Pusat Bantuan Sentul, Stephen Nile dan Ragawenthira Thangiah yang kami difahamkan turut merupakan Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Batu.

“NGO kami tidak terlibat dalam politik, jadi kami tidak mengambil maklum akan pemilihan parti PKR atau pun parti lain.

“Itu adalah urusan dalaman parti itu sendiri tetapi, kami sedikit gusar melihat anak muda mengamalkan budaya politik kotor. Anak muda seharusnya membawa pembaharuan dan pendekatan politik yang berbeza dan matang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyalahgunakan nama NGO itu bagi kepentingan politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast