Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak melupakan pengorbanan yang dilakukan oleh para guru dan pendidik ketika negara berhadapan pandemik Covid-19.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, golongan guru tetap melaksanakan tugas sebagai untuk mendidik anak bangsa walaupun berhadapan bermacam kesukaran berikutan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang Covid-19.

“Kita tidak akan sesekali melupakan pengorbanan besar para guru dan pendidik ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan PKP.

“Ketika itu murid dan pelajar tidak dapat ke sekolah kerana semua sekolah dan institusi pendidikan terpaksa ditutup bagi mengekang penularan virus berbahaya itu.

“Bagaimanapun warga pendidik tidak berdiam diri dan meneruskan tanggungjawab sebagai seorang guru dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bagi memastikan murid dan pelajar dapat belajar seperti biasa,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikan dalam kenyataan yang dikongsi di media sosial sempena Hari Guru hari ini.

Menurut Muhyiddin, jasa guru yang sanggup berkorban ketika penularan Covid-19 sangat besar dan tidak boleh dibalas oleh sesiapa pun.

“Setelah pandemik reda dan murid sudah dapat kembali belajar semula, sebahagian besar sekolah memperkenalkan pula catch up programme kepada murid-murid yang terjejas bagi memastikan mereka tidak jauh ketinggalan atau tercicir dalam pelajaran.

“Sungguh besar pengorbananmu wahai warga pendidik dan tidak mampu dibalas dengan apa juga harta dunia. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa dan khidmat bakti anda selama ini.

“Saya berdoa agar anda semua sentiasa sihat, tabah dan diberi kekuatan untuk terus memikul tanggungjawab mendidik dan memartabatkan anak bangsa. Selamat Hari Guru 2022. Sekolah tunjang negara sejahtera,” katanya.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu pasti sambutan Hari Guru tahun ini terutama peringkat sekolah lebih meriah.

Ini kerana negara sudah memasuki fasa peralihan endemik dan tidak ada lagi sekatan untuk mengadakan majlis atau acara sambutan termasuk Hari Guru.

Justeru Muhyiddin mahu para guru dan pendidik menggunakan peluang yang ada untuk mengeratkan lagi silaturahhim sesama mereka dan anak murid.

Muhyiddin mengambil alih pentabiran negara pada hujung Februari 2020 iaitu ketika virus Covid-19 mula merebak ke seluruh negara.

Di bawah pentabirannya, PKP telah diperkenalkan bagi mengekang penularan penyakit yang telah membunuh beratus juta orang di seluruh dunia itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast