Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Ibu bapa diingatkan supaya meningkatan tahap kebersihan anak-anak kecil berikutan peningkatan kes penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD) sejak kebelakangan ini.

Dalam masa yang sama, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menasihatkan pengusaha taska supaya melaksanakan tahap kebersihan yang optimum di premis masing-masing khususnya peralatan dan permainan yang digunakan kanak-kanak setiap hari.

Jelas beliau, ini kerana penyakit berkenaan boleh merebak daripada air liur. 

“Saya pohon kepada orang ramai terutamanya kepada ibu bapa yang ada anak-anak kecil supaya dapat tingkatkan lagi kebersihan kendiri dan anak-anak mereka sebab HFMD menjangkiti antara lain melalui air liur.

“Kebiasaannya anak kecil akan masukkan tangan dalam mulut dan main dengan yang berkongsi permainan di taska. Ini antara sebab peningkatan kes HFMD yang agak ketara.

“Kalau boleh cuci, peralatan selepas selesai sesi tadika atau di taska. Pengusaha tadika di taska mestilah jaga kebersihan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Sambutan Aidilfitri bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di sini, hari ini.

Menurut Khairy, beliau telah mengeluarkan arahan supaya pejabat-pejabat kesihatan daerah di setiap negeri meningkatkan hebahan berkenaan kes HFMD agar dapat memberikan maklumat terkini kepada masyarakat.

Tambah beliau, peningkatan mendadak kes HFMD adalah membimbangkan kerana jumlahnya lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum berlakunya pandemik Covid-19.

Kes HFMD dilaporkan meningkat 15 kali ganda dengan 31,661 kes direkodkan sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 (14 Mei) lalu, berbanding ME sama tahun lepas yang hanya mencatatkan 2,121 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, untuk kes yang dilaporkan sepanjang ME 19/2022, sebanyak 7,526 kes dilaporkan berbanding ME 18/2022 dengan 1,676 kes di seluruh negara iaitu peningkatan 349 peratus. -MalaysiaGazette