Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin menanam pokok Gutta Percha pada Program Penanaman Pokok Gutta Percha Terbanyak oleh Yayasan TM di Taman Botani Putrajaya hari ini. Turut kelihatan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan TM,Tan Sri Abd Ghafar Mahmud (dua, kiri).

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan menjalankan program penerangan bagi membetulkan stigma masyarakat terhadap tanaman ketum dan hem apabila prosedur penanamannya dimuktamadkan.

Timbalan Menterinya Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata pihaknya akan mendidik masyarakat tentang penggunaan tanaman itu yang antaranya memberi manfaat dari segi perubatan dan kesihatan.

“Kita tanam bukan untuk suka-suka tetapi untuk tujuan perubatan,” katanya selepas merasmikan program Penanaman Pokok Gutta Percha Terbanyak – The Malaysia Book of Records sempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2022 di sini, hari ini.

Pada 24 April lepas, Zahidi dilaporkan berkata kabinet memberi kebenaran supaya perbincangan dilakukan pihaknya yang mewakili Parlimen Padang Besar, dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung kebenaran penanaman tanaman ketum dan hem untuk tujuan perubatan.

Perbincangan itu masih belum dijalankan.

Terdahulu ketika merasmikan program berkenaan, Zahidi berkata kerajaan ketika ini dalam usaha mencapai sasaran penanaman 100 juta pokok Gutta Percha di seluruh negara, yang kini terdapat 37 juta pokok spesies itu ditanam.

“Program ini juga antara usaha menangkis dakwaan berlaku penebangan pokok tidak terancang hingga menjejaskan ekosistem. Melalui program ini, kita tanam semula pokok,” katanya.

Program yang diinspirasikan daripada kempen Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli itu, diadakan bagi memelihara kepelbagaian biologi negara dengan memilih spesies pokok Gutta Percha kerana status warisannya yang penting di Malaysia.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast